Perak Hari Ini

BR1M 3.0 Dilancarkan 22 Februari Depan: Perdana Menteri

PERAKTODAY8

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 3.0 akan dilancarkan pada 22 Februari depan manakala pengagihan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula ditetapkan pada keesokan harinya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, bantuan dengan nilai RM650 dan tambahan RM50 lagi untuk insurans bagi setiap ketua keluarga itu merupakan antara manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu.

“BR1M adalah usaha kerajaan untuk meringankan beban rakyat dengan menggunakan kaedah subsidi tersasar dan kita berjanji pemberian bantuan ini akan bertambah menjadi RM1.200 untuk tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah Wisma UMNO Bukit Gantang di Kampung Pengkalan Aur, dekat Taiping, sebentar tadi. Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, bagi meringankan beban rakyat, kerajaan memperkenalkan kaedah subsidi bersasar bagi menggantikan subsidi pukal yang lebih banyak merugikan dan menyebabkan ketirisan dalam penyaluran bantuan.

“Dengan penyaluran subsidi bersasar seperti BR1M ini, lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaatnya secara adil dan kita juga akan menyediakan lagi pasar tani dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk meringankan beban rakyat yang terpaksa berhadapan dengan masalah kenaikan harga barang.

“Dengan penguatkuasaan yang lebih tegas, saya dapati harga barang sekarang ini lebih stabil,” tegasnya lagi.

Sambil menegaskan kaedah subsidi tersasar adalah yang terbaik, Najib berkata kerajaan juga akan memikirkan jalan terbaik untuk menangani isu kenaikan harga barang walaupun UMNO dan BN sering dipersalahkan terutamanya oleh pihak pembangkang.

“Percayalah kita tidak akan mempersia-siakan mandat rakyat pada pilihan raya umum yang lalu dan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, saya tahu perkara ini amat sensitif.

“Justeru, kita akan terus mempertahankan parti keramat UMNO agar kekal berkuasa dan berwibawa,” tambahnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");