Sukan Hari Ini

Enam pelumba galas cabaran

LUMBAT

Enam pelumba galas cabaran Muhammad Adiq Hussaini Othman (kanan) dan Anuar Manan bakal mengetuai pelumba TSG pada Kejohanan Lumba Basikal Herald Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne, 5 Februari ini:-

PASUKAN lumba basikal profesional, Terengganu Cycling Team (TSG) menyenaraikan enam pelumbanya untuk menggalas cabaran pada Kejohanan Lumba Basikal Herald Sun Tour Victoria 2014 di Melbourne, Australia pada 5 Februari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TSG Rozali Salleh berkata, enam pelumba itu diketuai dua pelumba hebat iaitu Anuar Manan dan Muhammad Adiq Hussaini Othman manakala empat lagi ialah Mohd Harris Salleh, Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

Katanya, Anuar dan Muhammad Adiq kembali bersama TSG berkuat kuasa 1 Januari lalu setelah berkhidmat bersama pasukan lumba basikal profesional luar negara iaitu Manan menyertai pasukan Synergy Baku Cycling Project dari Azerbaijan manakala Muhammad Adiq menyertai pasukan Champion System Pro Cycling dari China.

“Ini merupakan kejohanan kedua yang disertai TSG bagi 2014 selepas Kejohanan Jiexpo Kreterium 2014 Jakarta, Indonesia pada 25 Jan lepas yang mana Manan berjaya menduduki tempat ketiga iaitu penyertaan sulungnya bersama TSG tahun ini,” katanya.

Katanya, semua pelumba kini giat menjalani latihan intensif di sekitar bandar Kuala Terengganu dan Dungun di bawah bimbingan penolong jurulatih Jasmin Roslan bagi memastikan mereka mempamer persembahan hebat pada kejohanan lima hari itu.

Kejohanan tahunan edisi ke-61 itu yang diadakan sejak 1952, mendapat pengiktirafan Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI) dan berakhir 9 Februari.

Katanya, TSG sekarang sedang mencari jurulatih baharu bagi menggantikan Sebastian Duclos dari Itali yang tamat kontrak.

Dalam perkembangan lain, Rozali berkata TSG akan mengadakan latihan di laluan jalan raya yang terlibat dengan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2014 yang akan diadakan hujung bulan ini bertujuan membiasakan pelumba dengan laluan itu.

LTdL 2014 edisi ke-19 itu yang akan bermula dari 27 Februari hingga 8 Mac dengan jarak keseluruhan sejauh 1,506.5km meliputi 10 peringkat, bermula di Langkawi dan berakhir di Kuala Terengganu.

Perlumbaan berstatus 2.HC (hors category), juga acara terbesar dalam kalendar Jelajah Asia UCI, sekali lagi mempamerkan keindahan pemandangan di seluruh Semenanjung Malaysia.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");