Sukan Hari Ini

FAM bersikap lebih berhati-hati

famPERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mahu membuat keputusan terburu-buru melantik jurulatih baharu untuk skuad Harimau Malaya.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pihaknya masih menilai beberapa calon yang telah memohon jawatan tersebut menerusi rundingan yang membina.

Kosmo! semalam melaporkan, bekas pemain antarabangsa Perancis, Marcel Desailly meluahkan hasrat untuk membimbing Harimau Malaya dan bersedia membantu skuad kebangsaan melakar kegemilangan di pentas antarabangsa dengan berkongsi pengalaman yang ada padanya.

Mengulas mengenai keinginan Desailly, Tengku Abdullah bertitah, FAM menyambut baik hasrat beliau tetapi perlu melalui proses penilaian memandangkan terdapat 42 calon yang berminat mengisi jawatan tersebut.

Titah baginda, FAM memerlukan seorang jurulatih berpengalaman dan Desailly sekadar memiliki pengalaman sebagai pemain, bukan jurulatih.

“Kami ada senarai panjang jurulatih-jurulatih yang berminat dengan jawatan ini. Saya masih tidak bertemu dengannya (Desailly) dan saya difahamkan, (Setiausaha Agung FAM) Datuk Hamidin (Mohd. Amin) telah bertemu dengan pegawainya.

“Saya tidak dapat nak mengulas (perkara ini) dan kalau betul-betul beliau berminat, kita akan mempertimbangkan dulu. Kita juga akan bandingkan kebolehannya dengan calon-calon yang lain.

“Saya juga akan mengambil kira (Desailly) tiada pengalaman (sebagai jurulatih). Tidak dapat diragui bahawa beliau adalah salah seorang bekas pemain yang cukup bagus, tetapi kurang pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

“Saya tidak berniat untuk mengatakan beliau tidak layak tetapi kita masih belum tahu keupayaannya dalam bidang kejurulatihan.

“Kami memerlukan jurulatih yang berpengalaman dan tidak mahu terburu-buru dalam hal ini,” titah baginda kepada pemberita ketika ditemui di Wisma OCM Kuala Lumpur semalam.

Selepas sehari Desailly meluah hajat untuk membimbing Harimau Malaya, timbul pula calon lain yang memiliki impian yang sama seperti bekas tonggak pertahanan Chelsea itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih FAM, Datuk Seri Subahan Kamal mendedahkan, bekas pemain Bayern Munich dan AC Milan, Jean-Pierre Papin juga menjadi salah seorang daripada 42 jurulatih yang memohon jawatan jurulatih Harimau Malaya.

Jelas Subahan, ‘kesan’ daripada rundingan bekas jurulatih Jepun, Phillipe Troussier telah menyebabkan FAM lebih berhati-hati untuk melantik pengendali baharu Harimau Malaya.

Sebelum ini, FAM hampir pasti berjaya untuk menandatangani khidmat Troussier sebelum badan induk bola sepak negara itu mengambil keputusan untuk menolak hasrat bekas jurulatih FC Ryukyu tersebut gara-gara permintaan keterlaluan termasuk enggan ditetapkan sebarang Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) kepadanya.

“Desailly bukan nama baharu. Beliau telahpun dikaitkan dengan FAM sebelum ini dan macam saya kata, apabila 42 jurulatih yang memohon untuk jawatan ini, saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, kita akan menilai semua calon yang memohon jawatan tersebut.

“Pierre Papin juga berminat dengan jawatan ini tetapi kita tidak mahu terburu-buru melantik jurulatih baharu Harimau Malaya,” jelas Subahan.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");