Membawang Hari Ini

Feeya ganti Raja Azura

feeya

Terpaksa terkejar-kejar antara tugas hakiki dan kerja sampingan itulah hakikat yang dilalui Nor Shafiza Iskandar, 25, atau lebih dikenali dengan panggilan Feeya apabila terpaksa membahagikan masa sebagai penyampai Sinar FM dan hos program terbitan Astro.

Bagaimanapun penyampai slot Santai Sinar bersama Zaidi yang ke udara dari jam 3 hingga 7 petang ini tetap ceria dengan aktiviti yang dilalui. Sementara dirinya masih diperlukan dan rezekinya masih ada, perasaan penat ditolak tepi terlebih dulu.

Terbaru, sepanjang minggu ini dia bersama Zaidi dan Shahrol Shiro muncul dalam slot Sinar Pagi bagi menggantikan tempat Raja Azura, Salih Yaacob dan Khairil Rashid yang bercuti selama seminggu. Tugas ini juga dipikulnya dengan penuh komited.

“Tak dinafikan jadual kerja saya agak padat tapi saya tetap gembira dengan apa yang dilakukan. Setiap hujung minggu saya akan berkejar ke luar Kuala Lumpur kerana terbabit sebagai pengacara untuk uji bakat Kilauan Emas 4. Setakat ini saya sudah ke Sabah, Sarawak dan Pahang bagi menjayakannya.

“Selepas ini saya akan ke Johor, Pulau Pinang dan Shah Alam pula dan proses ini kena dilalui selama enam minggu. Uji bakat berlangsung pada Sabtu dan Ahad sekali gus saya terpaksa mengorbankan cuti. Bahkan baru-baru ini sebaik tamat bertugas, saya terus bertolak ke Kuantan untuk Kilauan Emas. Namun saya tetap gembira kerana sekurang-kurangnya dapat mencari pengalaman baru dalam karier.

“Alhamdulillah sejak terbabit sebagai pengacara belakang tabir Maharaja Lawak Mega 2013 serta kontroversi yang dilalui, rezeki saya semakin murah. Saya anggap ia petanda positif dalam karier yang baru berusia empat tahun,” katanya yang ditemui di sesi penggambaran iklan produk serum rambut NSA Beauty, baru-baru ini.

Feeya berkata, sebagai langkah berjaga-jaga dirinya lebih selesa ditemani keluarga terutama emaknya andai ke luar kawasan.

“Ke mana-mana pergi pun saya mesti akan bawa keluarga terutama mak (Norejah Mahadi, 44), kerana lebih selesa begini. Kalau ke lokasi di dalam semenanjung, ayah saya, Iskandar Azizan, 52, akan ikut serta bawa kereta kerana saya memang tak yakin memandu.

“Biarlah orang nak kata apapun kerana saya memang rapat dengan mereka. Ini juga langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan gangguan daripada mereka yang berniat tak baik. Secara tak langsung ini memudahkan saya kerana dapat memberi tumpuan sepenuhnya pada kerja,” katanya.

Mengakui meminati bidang lakonan, Feeya sukar menerima tawaran berlakon kerana jadual yang begitu ketat sebagai penyampai radio. Dia tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak.

“Memang tak dinafikan keinginan itu ada tapi melihatkan jadual kerja saya yang tamat jam 7 petang, terfikir pula bagaimana nak membahagikan masa berlakon. Saya tak nak main terima saja tawaran tanpa fikirkan risikonya. Saya bukan fikir soal duit semata-mata kerana yang penting ialah hubungan dengan semua pihak.

“Saya tak nak paksa buat sesuatu yang boleh membebankan diri di kemudian hari. Jadi, saya lebih senang terima tawaran sebagai pengacara untuk mana-mana program kerana tidak mengambil masa yang lama,” katanya yang enggan memikirkan soal teman lelaki kerana menumpukan perhatian pada karier.

Tidak sabar ke Seoul

Populariti Feeya kini membuat­kan dirinya menjadi rebutan pelbagai pihak termasuk NSA Beauty yang menjadikannya sebagai testimoni produk penjagaan rambut mereka. Bahkan dia juga dijanjikan untuk berjalan makan angin ke Korea Selatan, Disember nanti.

“Syukur kerana pemiliknya, Suraya Yahya berminat nak bekerjasama dengan saya. Paling seronok saya akan dibawa ke Seoul kerana kerana saya sudah lama teringin nak ke sana. Apatah lagi Disember musim sejuk dan saya dapat rasa bermain salji.

“Sudah tentunya saya akan bawa emak bersama menemani saya. Menariknya rombongan ini akan turut disertai stokis dan pengguna produk ini. Difahamkan stokis perlu menjual sebanyak 3,000 botol manakala 10 orang pengguna pula berpeluang memenangi cabutan bertuah untuk layak menyertai percutian ini.

“Kempen akan bermula pada 1 Mac hingga Jun dan keterangan lanjut boleh didapati menerusi Instagram saya @feeyaiskandar. Sebenarnya Instagram adalah medium terbaik buat saya mendekatkan diri dengan peminat. Saya hargai hadiah pemberian mereka dengan memuat naik gambar di situ,” katanya.

Mengulas mengenai paparan gambarnya yang dikatakan agak ‘daring’ di Instagram, Feeya berkata dia tidak ambil peduli dengan kritikan yang dilemparkan.

“Kalau diikutkan gambar orang lain lebih teruk lagi tapi disebabkan saya public figure, cepatlah orang kritik. Perkara ini mudah saja, sekiranya seseorang tak suka saya, tak perlulah nak follow (ikuti) Instagram saya. Pada saya walaupun ada yang mengata, mereka tetap nak tengok gambar-gambar yang disiarkan.

“Saya tak kisah dengan apapun pandangan itu. Yang penting saya tak ganggu orang dan menyusahkan hidup mereka. Saya buat buat kerja saya sendiri,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");