Membawang Hari Ini
Like

Fizie tidak bimbang dibandingkan dengan FBI

February 11, 2014
388 Views
0 Comments
6 minutes read
Fizie tidak bimbang dibandingkan dengan FBI

HOT FM

SETELAH penyampai radio Faizal Ismail atau FBI meninggalkan Hot FM pada 16 November tahun lalu, tempatnya bakal diisi dengan kehadiran penyampai baharu, Mohamad Hafizie Roslan.

Suara Mohamad Hafizie atau Fizie dapat didengari oleh seluruh rakyat Malaysia bermula pada hari ini (10 Februari), menerusi slot HOT FM AM Krew dari pukul 6 hingga 10 pagi bersama dua penyampai sedia ada, Fara Fauzana dan AG.

Bukan baharu dalam dunia penyiaran radio, ujar Fizie, dia merupakan bekas penyampai radio di Manis FM, Kelantan dan juga penyampai radio di Hot FM Kelate di Kelantan selama tiga tahun.

Bahkan, Manis FM bukan permulaannya sebagai penyampai radio sebaliknya jejaka berasal dari Taiping, Perak itu mula berkecimpung dalam dunia tersebut sejak di bangku sekolah lagi.

“Sejak kecil lagi saya sudah bercita-cita ingin menjadi deejay. Ketika itu saya cukup meminati deejay Zainal Din Zainal dan Kamal Hassan. Saya pernah jadi deejay di sekolah dan juga deejay di pasar raya selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selama tiga bulan.

“Selepas itu, saya memulakan karier pertama sebagai deejay di Manis FM selama dua tahun (2006-2008) dan kemudiannya berhenti dan menghasilkan radio internet sendiri iaitu Gempak FM,” ceritanya yang kemudiannya bekerja sebagai penyampai radio di Hot FM Kelate, Kelantan bermula 2011 hingga 2013 pula.

Mengakui teruja menggalas tugas baharu sebagai penyampai radio Hot FM AM Krew bersama Fara dan AG, Fizie disoal jika dirinya bakal dibandingkan dengan Faizal.

Tidak risau bakal dibandingkan dengan Faizal, ulas bapa kepada dua anak itu, dia diasuh untuk bekerja dengan jiwa dan dia berharap dapat menghiburkan pendengar.

“Saya bukan menggantikan Faizal. Faizal adalah Faizal. Dia berada dalam kelas tersendiri tetapi, saya mahu menjadi sebaik Faizal,” luah Fizie yang turut memiliki sifat humor semula jadi seperti Faizal.

Fara profesional

Gembira tempat Faizal digantikan dengan Fizie, ulas Fara pula, keseronokan dan keserasian itu sudah ada kerana mereka sudah mengenali antara satu sama lain.

“Saya selalu dengar Hot FM Kelate. Lagu di sana lain dan cara penyampaian juga lain. Bila bos bagi peluang kepada penyampai Hot FM sendiri saya sangat gembira. Kita selalu pandang orang luar tetapi kenapa tidak pada orang sendiri,” ujarnya optimis.

Sering bergurau mesra dengan Faizal dan AG seperti memanggil panggilan ‘sayang’ selama ini, bagaimanapun kemesraan tersebut tidak menimbulkan salah faham terhadap isteri kedua-dua penyampai tersebut.

Berjumpa dan berkenalan dengan isteri Faizal dan AG, perkara yang sama akan dilakukan kepada isteri Fizie pula.

“Masa bekerja saya akan profesional. Namun, saya juga akan mengusik dengan memanggil ‘sayang.’ Saya ada minta Fizie beritahu isterinya terlebih dahulu dan saya juga akan berjumpa dan berkenalan dengan isterinya.

“Saya mahu isteri mereka tahu saya tiada niat lain. Hanya bekerja dan saya mahukan kepercayaan itu,” ujarnya jujur.

Disoal mengenai Fizie, kata Fara, penyampai radio juga perlu pandai memberi punch line dan melihat pada kebolehan dan karakter Fizie, dia mampu melakukannya.

Mengulas lanjut, kongsi Fara, Fizie juga mampu membuat panggilan Hangit dengan baik.

“Hot FM Kelate juga ada Panggilan Hangit tetapi namanya Keno Khenak (kena khianat). Konsepnya sama dengan Panggilan Hangit,” kata Fara lagi.

Rosyam jadi penyampai Hot FM

AG pula menganggap penyampai berusia 26 tahun itu seorang yang agresif dan mempunyai pemikiran yang laju.

“Dia muda. Idea muda. Ada perkara yang saya tidak tahu tetapi dia tahu. Elemen padanya itu kita boleh pakai,” ujarnya yang turut memberitahu pengisian Hot FM AM Krew juga akan berbeza dengan kehadiran Fizie.

AG juga memberitahu, Fizie mempunyai pendengar setia di Kelantan dan kehilangan penyampai itu tidak akan dirasai di sana kerana rakyat Kelantan juga boleh mendengar celoteh Fizie di Hot FM AM Krew.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul pula menjelaskan, Fizie dipilih berdasarkan keserasian gandingannya bertugas di samping Fara dan AG.

“Sebagai satu nama yang sinonim dengan masyarakat Kelantan, Fizie turut menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang tiga tahun bertugas di Hot FM Kelate.

Bukan sekadar kemasukan Fizie akan menjadikan pagi pendengar Hot FM lebih segar, pengisian Hot FM AM Krew turut diberi perhatian terperinci.

Penampilan beberapa nama yang tidak asing lagi dalam industri seni tanah air akan meledakkan hangat pagi pendengar Hot FM.

“Satu segmen mingguan bersama Doktor R akan mula bersiaran setiap hari Rabu bermula pukul 7.30 hingga 8.30 pagi. Segmen tersebut akan dihoskan oleh pelakon dan penerbit terkenal iaitu Datuk Rosyam Nor.

“Segmen Diva @ AM Krew pula akan menampilkan dua pelakon iaitu Zulin Aziz dan Sherry Alhadad. Kedua-dua mereka akan digandingkan untuk menghiburkan pendengar Hot FM seawal pukul 7 pagi dari Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Mencapai usia lapan tahun pada hari ini, Hot FM juga membuka ruang kepada penyanyi atau komposer muda yang memiliki aspirasi untuk berjaya dalam industri muzik tempatan melalui sebuah kempen yajg dinamakan Projek EP.

Kempen tersebut turut menggunakan khidmat AG Coco sebagai penerbit dan panel pilihan.

– KOSMO

Komen & Pendapat

Leave a Reply