Isu Panas

Hari-hari terakhir seorang MB

khalid daOleh Zabidi Saidi:-

Doa orang dizalimi biasanya mudah dimakbulkan Allah, Apatah lagi doa 138 orang. Mereka inilah yang mendoakan kejatuhan Khalid Ibrahim dari kerusi MB Selangor:-

PETALING JAYA: Tidak ada kematian, tiba tiba berlaku pilihanraya kecil (PRK) di Kajang. Satu hari selepas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan, Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim terus umumkan ahli parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PKR. Sedangkan SPR belum bermesyuarat lagi untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi.

Inilah keanehan yang berlaku. Kenapa tiba-tiba Anwar perlu bertanding di Kajang sedangkan selama ini Anwar berhajat mahu menjadi Perdana Menteri (PM) Malaysia. Kenapa perlu ada “Kajang Move”?

Seperti kata seorang aktivis Umno, Zaharin Mohd Yasin, Anwar sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat takkan mahu menjadi ADUN biasa sahaja di dalam DUN Selangor. Sebagai Ketua Umum PKR, sudah tentu langkahnya berada dalam DUN itu untuk menjadi MB Selangor.

Kenapa Anwar sebagai anak kelahiran Pulau Pinang perlu menjadi MB Selangor? Adakah PKR tandus calon anak jati Selangor yang perlu dilantik MB? Kenapa ADUN Antarabangsa, Azmin Ali tidak dilantik sebagai MB baru menggantikan Khalid Ibrahim? Sedangkan Azmin adalah Pengerusi PKR Selangor yang paling wajar jadi MB kalau PKR menerima pakai konsep parti menguasai kerajaan.

Adakah kerana ada deal di antara Anwar dengan Khalid? Khalid sedia berundur jadi MB dengan syarat bukan Azmin yang gantinya. Maka tidak ada pemimpin yang lebih senior dari Khalid yang perlu dtonjolkan sebagai pengganti Khalid selain dari Anwar Ibrahim.

Dalam perlembagaan Selangor, tidak ada peruntukan yang mengatakan MB mesti lahir di Selangor. Anwar sebagai anak bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan (1964-1969) sudah lama dibesarkan di Selangor maka Anwar boleh jadi MB.

Seperti kata penulis veteran, Subky Latif, tak salah Anwar jadi MB kerana John Nixon selepas kalah bertanding jawatan Presiden Amerika Syarikat pernah jadi gabenor New York sebelum dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang baru. Mungkin ini perkiraan Anwar, selepas jadi MB Selangor, negeri paling maju di Malaysia, dia akan menjadi PM Malaysia. Bukankah PM sekarang, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menjadi MB Pahang?

Ramai yang hairan kenapa Anwar bertanding di Kajang. Sehingga pemimpin PAS melenting sambil berkata tidak pernah ada perbincangan di dalam Pakatan Rakyat mengenai pertukaran MB.

“Pemuda PAS sokong Anwar bertanding di Kajang tetapi tidak sokong Anwar jadi MB,” kata Ketua Pemuda, Suhaizan Kayat. Semalam ADUN Kelana Jaya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata tak perlu merela bergaduh isu MB kerana keutamaan sekarang biar PKR menang terlebih dahulu di Kajang.

Apa salah Khalid?

Dalam suasana ini akhirnya MB, Khalid Ibrahim pada 8 Februari lalu membayangkan kesediaan untuk melepaskan jawatannya kepada Anwar Ibrahim sekiranya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini.

Kenyataan Abdul Khalid itu ternyata berbeza sebelum ini apabila beliau menafikan desas-desus Anwar akan menggantikan tempatnya.

Abdul Khalid berkata, sememangnya perkara tersebut ada dan sedang dibincangkan.

“Tidak mengapa. Kita (PKR) masih terus berbincang sebab perkara itu juga memerlukan perbincangan dalam pakatan pembangkang.

“(Cukuplah) saya fikir tidak perlu kita menghadkan sebarang perbincangan berhubung perkara tersebut,” katanya kepada pemberita dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat negeri.

Dalam temuramah dengan saluran televisyen Australia, Newsline pada Khamis lalu seperti dilaporkan akhbar, Anwar berkata, Abdul Khalid akan mengambil alih tempatnya sebagai Penasihat Ekonomi Selangor jika beliau menjadi Menteri Besar.

Anwar menjelaskan, perkara itu sedang dibincangkan dengan Abdul Khalid.

Abdul Khalid sebelum ini menolak desas-desus Anwar akan menggantikan tempatnya sebagai Menteri Besar.

Sebenarnya apa salah Khalid sehingga beliau perlu ditukar dari jawatannya? Sebagai bekas tokoh koporat, beliau memimpin Selangor dengan cemerlang sehingga memperolehi rezab sebanyak RM2.6 bilion. Tetapi sebagai orang politik, beliau gagal memanfaatkan wang itu untuk kepentingan rakyat Selangor.

Azmin pernah mengkritik Khalid, apa guna ada duit banyak sedangkan jalan di kampung-kampung tidak diperbaiki. Apatlah lagi isu pemecatan Azmin dari jawatan ahli lembaga pengarah PKNS yang dipengerusikan Khalid sendiri. Khalid kata beliau tidak terlibat dengan pemecatan Azmin. Jadi siapa yang pecat Azmin? Bekas Pengurus Besar PKNS?

Sebenarnya Khalid yang menempah maut sendiri. Anwar suruh kaji semula gaji MB, Exco dan ADUN yang naik mengejut tidak dikajinya semula. Jadi Khalid tidak ikut arahan parti. Maka Khalid perlu digantikan dengan orang lain. Maka Anwar adalah calon yang tepat untuk menggantikan Khalid yang bersih itu.

Pemecatan 23 kakitangan PKNS

Sebelum ini, akhbar melaporkan mengenai pergolakan PKR di Selangor ekoran tindakan Pengerusi PKR negeri, Azmin Ali mengkritik pentadbiran Abdul Khalid membabitkan isu-isu tertentu termasuk pemecatan 23 kakitangan PKNS Holdings Berhad (PNHB) pada 4 Februari lalu.

Khalid kata pemecatan 23 kakitangan PKNS dapat menjimatkan RM7 juta setahun. Lojikkah kenyataan Khalid ini? Takkan setiap kakitangan yang dipecat dibayar gaji RM25,362.31 seorang sebulan? Nak buat kenyataan pun, biarlah lojik.

Bayangkan 23 orang kakitangan ada 23 isteri, maknanya 46 orang terlibat dan satu keluarga ada tiga orang anak, maka yang dianaiya dari pemecatan ini adalah seramai 138 orang. Ayah terpaksa menganggur sedangkan anak-anak sedang bersekolah. Doa orang dizalimi biasanya mudah dimakbulkan Allah, Apatah lagi doa 138 orang. Mereka inilah yang mendoakan kejatuhan Khalid Ibrahim dari kerusi MB Selangor.

Malah Azmin juga dilaporkan pada 7 Februari lalu secara terbuka mengecam tindakan pemecatan kakitangan PHSB itu selain mendakwa Abdul Khalid menggunakan anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata untuk menentang musuh-musuh politiknya.

Selain kritikan serta kecaman terhadap pentadbirannya, Abdul Khalid turut dikaitkan dengan desakan kuat daripada PKR sendiri yang mahu beliau berundur dan jawatan Menteri Besar digantikan dengan individu lain daripada kalangan pemimpin PKR.

Berdasarkan kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid pada 5 Februari lalu, Ahli Parlimen Kuala Langat itu sendiri mengakui PKR telah menetapkan pendirian supaya Abdul Khalid perlu meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar dan digantikan dengan pemimpin lain dalam kalangan parti berkenaan.

Menurut Abdullah Sani, pendirian itu adalah satu keputusan yang telah diperakui oleh semua kepimpinan PKR sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Oleh itu Khalid jatuh kerana kesilapannya sendiri. Khalid sedang menghitung hari-hari terakhirnya sebagai MB selepas 23 Mac nanti sebaik-baik sahaja Anwar diangkat menjadi ADUN Kajang. Dapatkah Anwar menjadi MB Selangor? Sama-samalah kita tunggu kerana manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.

– Free Malaysia Today

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");