Isu Panas

Hindraf dalam kerajaan, satu eksperimen yang gagal

moorthyOleh Prof. Salleh Buang:-

Pada Isnin 10 Februari lalu, Waythamoorty telah meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri atas kehendaknya sendiri. Dengan itu, status “Hindraf dalam Kerajaan” berakhir. Hindraf menyatakan Waytha berbuat demikian kerana “kegagalan kerajaan menunaikan janji dalam memorandum persefahaman” yang dimeterai dengan Kerajaan sebelum pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu.

Sebelum itu, pada petang Sabtu 8 Februari 2014, satu kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Hindraf, P Ramesh, bahawa majlis pimpinan Hindraf sebulat suara mahu Waytha meletakkan jawatannya. Kata Ramesh lagi, tindakan itu kerana kerajaan “sengaja melengah-lengahkan janji bagi membantu masyarakat India”. Dia menambah bahawa perletakan jawatan Waytha berkuatkuasa pada Isnin 10 Februari.

Siapa Hindraf?

Hindraf, atau nama penuhnya Hindu Rights Action Force (Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu) adalah satu kumpulan pendesak (pressure group) yang diterajui oleh lima peguam, dibantu oleh beberapa ahli lain yang komited memperjuangkan misi mereka – iaitu mendesak kerajaan Malaysia supaya “tidak lagi meminggirkan masyarakat India di negara ini”.

Pada 25 November 2007, Hindraf mengadakan protes jalanan melibatkan ribuan orang, mendakwa kerajaan Malaysia telah melakukan diskriminasi terhadap masyarakat India di negara ini. Disebabkan protes jalanan ini, disusuli pula oleh kempen di seluruh negara selepas itu, ada pihak yang berpendapat akibatnya BN hilang sokongan dari masyarakat India, lalu hilang majoriti dua pertiga (yang telah dinikmatinya selama ini) semasa PRU -12 pada Mac 2008.

Pada 15 Oktober 2008 Menteri Dalam Negeri mengisytiharkan Hindraf adalah satu pertubuhan haram. Bagaimanapun, pengharaman ini telah ditarik balik pada 26 Januari 2013, dan akhirnya pada 8 Mac 2013 Pendaftar Pertubuhan Malaysia meluluskan pendaftaran “Persatuan Hindraf Malaysia”.

Sebelum itu, pada 27 Februari 2011, Hindraf mengadakan demonstrasi lagi di Kuala Lumpur, kali ini membantah keputusan kerajaan menggunakan buku cerita “Interlok” sebagai bahan bacaan wajib mata-pelajaran sastera untuk pelajar tingkatan lima. Hindraf mendakwa buku itu menghina masyarakat India di negara ini dan berbentuk rasis.

Akhirnya pada 18 April 2013, Hindraf (diwakili Waytha) telah menandatangani satu MoU (memorandum persefahaman) dengan kerajaan Malaysia bagi maksud mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menjaga kebajikan pekerja estet, menyelesaikan masalah orang yang tidak bernegara (stateless persons), memberi kemudahan dan peluang perniagaan, sekali gus membawa masyarakat India ke aliran perdana pembangunan negara.

Pada ketika itu Waytha menyeru masyarakat India di negara ini untuk mengundi BN dalam PRU13. Bagaimanapun, P. Uthayakumar (pengasas Hindraf) menyatakan pergerakan itu tak ada kaitan langsung (has nothing to do) dengan MoU yang ditandatangani Waytha itu.

Kenyataan Uthayakumar itu menunjukkan bahawa Waytha tidak disokong penuh 100 peratus oleh setiap anggota Hindraf bila dia menyatakan kesanggupannya menyertai kerajaan.

Tindakan undang-undang terhadap kerajaan Britain

Saya mula memerhatikan tindak tanduk Hindraf pada 2007 apabila pertubuhan itu memfailkan satu tuntutan terhadap kerajaan British. Pertubuhan itu mendakwa bahawa kerajaan British, yang sejak akhir perang dunia kedua telah mentadbir Persekutuan Tanah Melayu, telah mengabaikan kepentingan masyarakat minoriti India di sini apabila memberi kemerdekaan kepada negara ini.

Hindraf menuntut pampasan dari kerajaan British sebanyak £1,000,000 bagi setiap warga Malaysia berketurunan India kerana terpaksa terus “ menanggung kesakitan dan sengsara, penghinaan, diskriminasi dan penjajahan yang berterusan” (pain, suffering, humiliation, discrimination and continuous colonization).

Diwakili sepasukan peguam diketuai Waytha, Hindraf menuntut pampasan keseluruhannya berjumlah 4 trillion pound. Hindraf mendakwa setelah satu kurun diperhambakan oleh British, kerajaan penjajah itu telah memberi kemerdekaan pula kepada satu kerajaan majoriti Melayu-Muslim yang selama ini telah melanggar hak kaum minority India di negara ini. Dalam tuntutan itu, Hindraf juga mahu Perkara 153 Perlembagaan Pesekutuan dimansuhkan, dan ia juga mahu mahkamah di Britain mengisytiharkan Malaysia adalah satu negara sekular dan bukan negara Islam.

Pada 26 November 2007, Waytha Moorthy meninggalkan negara ini untuk mengelakkan dirinya ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, sambil meraih sokongan bagi Hindraf dari seluruh warga dunia.

Hindraf tidak mewakili semua masyarakat India?

Mengikut Joginder Ranni, yang telah mengupas isu Hindraf ini dalam portal Free Malaysia Today baru-baru ini (sila lihat rencana ”Hindraf misusing Indian M’sians for its popularity” di http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2014/02/04/hindraf-mis…) pemimpin asal Hindraf adalah Uthayakumar Ponnusamy, Kengatharan, Manoharan Malayalam, Ganapathi Rao, Vasantha Kumar and Waytha Moorthy Ponnusamy. Apabila kerajaan bertindak menangkap 5 pemimpin pergerakan ini di bawah ISA, Waytha telah melarikan dirinya ke United Kingdom.

Uthayakumar dan Waytha adalah dua bersaudara (adik beradik). Mereka kemudian telah meminggirkan pemimpin yang lain dan mengambil teraju kepimpinan parti. Mengikut Joginder lagi –

“Uthayakumar and his brother Waytha sidelined the rest of the leaders so that they could hijack the organisation…. The organisation now has only two leaders. Waytha could not work together with his brother Uthaya, and sidelined him…”

Joginder menambah bila Waytha pulang ke Malaysia, dia mengumumkan Hindraf milik semua orang India di negara ini, tak kira apa parti politik mereka. Tetapi hakikatnya keahlian Hindraf tidak pernah dibuka kepada mana-mana orang India di negara ini. Berikut adalah apa yang dikatakan Joginder dalam teks asalnya –

“When Waytha returned to Malaysia from exile, he announced that Hindraf belonged to all Indian Malaysians regardless of political parties. Today the membership never been open to any Indian Malaysians. They kept the membership for the people who can say ‘yes boss’. Waytha sold all the Indian Malaysian dignity to get his dream post in government.”

Oleh itu, Joginder menyeru agar Waytha segera meletakkan jawatannya kerana dia telah menyalahgunakan hak masyarakat India untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya sahaja. (“Waytha should resign from his post for misusing the plight of Indian Malaysians”.)

Sekiranya Waytha tidak meletakkan jawatannya sebagai pemimpin Hindraf dan sebagai Timbalan Menteri, Joginder kata dia akan akan dedah banyak lagi fakta yang betul dan rahsia besar Hindraf kepada media. (If Waytha does not resign from his position as a Hindraf leader and a deputy minister, I will bring more truth and lift the secrecy of the great Hindraf to the media).

MoU antara BN dan Hindraf

Dari sudut undang-undang, satu MoU (memorandum kesefahaman) tidak sama dengan perjanjian. Satu MoU tidak mengikat dari sisi undang-undang. Ia sekadar kesefahaman awal yang membolehkan kedua-dua pihak berurusan dengan lebih dekat dan kerap selanjutnya untuk meneliti terma dan syarat yang lebih terperinci dan memanfaatkan kedua-dua pihak. Hasil perundingan lanjut inilah nanti akan membuahkan satu perjanjian yang terperinci dan mengikat kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, satu MoU menghendaki kedua-dua pihak bertindak dengan jujur dan suci hati (to act in good faith) bagi menjayakan apa yang terkandung dalam MoU itu.

Saya telah cuba mengesan dan mencari MoU berkenaan dalam ruang siber, tetapi apa yang saya temui di sebuah portal hanyalah kerangka kasarnya sahaja (lihat “Salient points of the Hindraf-BN MoU” di http://buoory.blogspot.com/2013/04/salient-points-of-hindraf-bn-mou.html).

Dalam MoU itu, “satu bahagian khas yang berfungsi dan dibiayai di bawah kawalan langsung Perdana Menteri hendaklah ditubuhkan bagi melaksanakan apa yang terkandung dalam MoU Hindraf itu” (A special division functioning and funded under the direct supervision of the prime minister is to be set up to implement the Hindraf memorandum of understanding (MOU)”

Kandungan MoU itu disiarkan dalam akhbar Tamil Nesan dan diringkaskan oleh portal yang saya rujuk di atas itu tadi. Jika kita ingin tahu apakah dakwaan Waytha selepas dia meletakkan jawatannya itu berasas atau pun tidak, kita perlu melihat semula kandungan MoU ini dan menilainya dari perspektif methodology kerja dan prosedur kewangan yang mesti dipatuhi oleh setiap Jabatan dan Kementerian Kerajaan.

Apa yang menarik dan perlu ditegaskan adalah 100 hari selepas ia menyertai kerajaan, Hindraf ada mendedahkan kad laporannya (report card) dalam satu klip video yang boleh kita tonton (lihat http://www.youtube.com/watch?v=EGu_CCoYE1g). Dalam klip video itu, penasihat Hindraf, N. Ganesan menyatakan bahawa hanya satu perkara sahaja (dari 32 perkara yang disebutkan dalam MoU itu) yang menunjukkan sedikit “kemajuan”. Pun begitu, Ganesan berkata Hindraf mesti diberi lebih masa (“give us more time”) kerana “things are moving… we have 5 years” (banyak benda berlaku… kita ada 5 tahun).

Walaupun Ganesan pernah berkata “Kita ada 5 tahun”, Waytha nampanya hanya mampu menunggu selama 8 bulan sahaja.

Sebab gagal

Mengulas tindakan Waytha itu, Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M Kayveas menyatakan pemimpin Hindraf itu tidak sepatutnya menyalahkan kerajaan sebagai punca dia meletakkan jawatannya. Sebaliknya pemimpin Hindraf itu menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberi kepadanya. Katanya lagi:

“Dia gagal menjalankan tugas walaupun diberi peluang dan ruang. Dia langsung tidak faham bahawa untuk menjayakan sesuatu perubahan, memerlukan masa dan bukan semudah ABC dan tempoh satu malam untuk selesaikannya.” .

Sambil menegaskan bahawa PPP dan MIC sentiasa bekerjasama mencari penyelesaian kepada masalah yang dialami masyarakat India yang semuanya dilakukan “tanpa publisiti langsung”, Kayveas menambah:

“Waytha langsung tidak pernah menemui kami sejak dilantik hingga masyarakat datang kepada kami beritahu betapa sukarnya menemui Waytha. Jadi usaha kami membantu masyarakat India tidak akan terjejas tanpa penglibatannya pun.”

Tersirat dalam kata-kata Kayveas itu adalah sifat Waytha Moorthy – dia bukan “team player” yang bersedia berkongsi tenaga dengan PPP dan MIC untuk menjaga kebajikan masyarakat India di negara ini.

Waytha pula menyatakan ada sebab lain. Katanya selama 8 bulan dia ada dalam kerajaan, dia berjumpa Perdana Menteri sebanyak 16 kali. Setiap kali, dia meminta nama Unit baru yang dijanjikan akan ditubuhkan di mana dia akan menjadi ketuanya serta dana (bajet) “seperti yang dijanjikan”, tetapi permintaanya itu tidak ditunaikan.

Sambil menuduh Perdana Menteri gagal memenuhi janjinya kepada Hindraf, Withaya mendakwa Perdana Menteri itu telah hilang “moral authority” untuk terus memerintah negara ini.

Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel mahu Unit Hal-Ehwal Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri itu diletakkan di bawah kelolaan kepimpinan MIC, bukan Hindraf. Katanya lagi:

“MIC is the mother party of the Indian community since 1946, and we have been doing a good job, and will continue to eradicate long-standing problems.”

Palanivel menambah Jawatankuasa Khas Jemaah Menteri untuk masyarakat India (Special Cabinet Committee for Indians) di Jabatan Perdana Menteri diketuai oleh MIC, dan telah berjaya mengubah kehidupan puluh ribuan orang India di negara ini, membawa meeeka ke arus perdana pembangunan negara.

Eksperimen yang gagal

Pada hemat saya, tindakan membawa masuk Hindraf dalam kerajaan adalah strategi Perdana Menteri mendapatkan balik sokongan masyarakat India di negara ini, yang “hilang” dalam PRU1-2, barangkali kerana protes jalanan dan kempen memburuk-burukkan BN yang dilakukan oleh Hindraf pada tahun 2007 hingga Mac 2008. Sedikit sebanyak strategi PM itu berhasil, kerana prestasi BN dalam PRU13 adalah lebih baik, dan sebahagian besar masyarakat India telah kembali menyokong kerajaan.

Tidak semua orang merestui kewujudan Hindraf dalam kerajaan. Saya rasa MIC dan PPP tidak merestuinya, tetapi tidak menentangnya secara terbuka. Semua orang tahu bahawa sebelum Hindraf “menjual programnya” kepada kerajaan, Waytha telah cuba “menjualnya” kepada Pakatan, tetapi disebabkan mereka “lambat” menyambut tawaranya, dia terus meninggalkan mereka lalu berpaling kepada BN.

Jelas sekali Waytha bukan orang yang sabar menunggu. Gagal mendapat jawapan dari Pakatan, dia berpaling kepada BN. Gagal mendapatkan apa yang diminta dari PM, dia terus meletakkan jawatannya.

Pendek kata, bila ia mahukan sesuatu, dia mesti dapatkannya dengan segera. Metodologi kerja atau prosedur kewangan Jabatan atau Kementerian bukan satu yang masuk dalam perkiraannya.

Seorang sahabat berkata kehadiran Hindraf dalam kerajaan adalah satu eksperimen yang tak boleh berjaya. “As an experiment, it was doomed to fail from the start”, katanya.

Saya terpaksa setuju.

-MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");