Berita Hari Ini

Infrastruktur kewangan pacu Malaysia

najib_2

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata, infrastruktur kewangan Malaysia, khususnya pasaran modal yang kini bernilai RM2.68 trilion akan terus memainkan peranan utama dalam mencorakkan pembangunan negara.

Justeru, Perdana Menteri berkata, infrastruktur kewangan tempatan akan terus berbuat demikian dalam membina Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Beliau berkata, ini bersandarkan kepada kemampuan sektor berkenaan, termasuk kumpulan pembuat dasar dalam melaksanakan peranan khususnya ketika berdepan krisis kewangan dan kini terbukti mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Diperakui antarabangsa

“Langkah Malaysia menyelaraskan rangka kerja kawal selia domestik dengan piawaian antarabangsa kini diperakui secara meluas (pada peringkat antarabangsa).

“Dalam Program Penilaian Sektor Kewangan yang dikeluarkan baru-baru ini, Malaysia (menerusi pasaran modalnya) dinilai sebagai pasaran terbaik yang memenuhi objektif dan prinsip yang digariskan oleh Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO).

“Malaysia juga mencatatkan prestasi konsisten dengan memperoleh pengiktirafan sebagai negara keempat terbaik dunia dari segi melindungi pelabur oleh Bank Dunia.
“Justeru, infrastruktur kewangan kita akan terus memainkan peranan utamanya dalam pembangunan negara khususnya ketika kita sedang bersedia untuk menyertai kumpulan negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam ucaptama majlis makan malam sempena Mesyuarat Ahli Lembaga IOSCO di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Lembaga IOSCO, Greg Medcraft; Naib Pengerusi Lembaga IOSCO, Howard Wetston dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Ranjit Ajit Singh merangkap Naib Pengerusi Lembaga IOSCO.

Pengawal selia kena bersatu

Terdahulu, Najib berkata, pengawal selia sekuriti memainkan peranan penting dalam pembentukan jangka panjang pasaran modal global.

“Memandangkan pasaran kewangan antarabangsa semakin kompleks dan berdaya saing, amat penting bagi masyarakat pengawal selia sejagat untuk bersatu membincangkan pembinaan pasaran yang lebih kukuh dan maju,” katanya.

Perdana Menteri mahu pengawal selia tempatan mengukuhkan peranan pasaran modal bagi membolehkan peruntukan kekayaan dilakukan, selain boleh menjadi alat yang kukuh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi sebenar yang mapan dan terangkum.

SC terus bekerjasama

Sementara itu, Ranjit dalam ucapannya berkata, dalam persekitaran pasca-krisis hari ini, peranan pasaran modal menjadi semakin penting kerana ia mewakili sumber penting pembiayaan.

“SC Malaysia akan terus bekerjasama dengan pengawal selia di seluruh dunia bagi meningkatkan keberkesanan pengawal seliaan rentas sempadan, dan memupuk standard lebih tinggi bagi tadbir urus korporat dan tata laku pasaran, dalam usaha untuk menyokong pertumbuhan melalui pembiayaan berasaskan pasaran dalam pasaran kita,” katanya.

Ahli IOSCO mengawal selia lebih 95 peratus pasaran modal dunia bernilai RM419 trilion.

IOSCO adalah pertubuhan penetapan standard global terkemuka bagi pengawal seliaan sekuriti dan turut berfungsi dalam mengekalkan kepercayaan dan keyakinan terhadap pasaran.

-Berita  harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");