Perak Hari Ini

Jabatan Perhutanan Perak Tumpaskan Aktiviti Seludup Kayu Gaharu

PERAKTODAY50

Kerjasama Jabatan Perhutanan Perak (JPN) dengan pelbagai agensi penguatkuasaan terlibat telah berjaya menumpaskan tiga kes berkaitan penyeludupan kayu gaharu secara haram pada 20 dan 22 Februari yang lalu.

Tangkapan kali ini membabitkan kerjasama jabatan tersebut dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara  (Perhilitan Perak), Unit Pencegahan  dan Penyeludupan (UPP) negeri Perak, Perbadanan Taman negeri Perak dan World Wildlife Fund (WWF).

Menurut Pengarahnya, Datuk Roslan Ariffin, ianya merupakan hasil sitaan yang paling besar bagi tahun ini membabitkan 400 kilogram (kg) kayu gaharu dalam kategori kelas (C) yang boleh mencecah harga antara RM400,000 hingga RM2 juta.

“Kes pertama ditumpaskan pada 20 Februari lalu, iaitu sekitar jam 1 pagi yang melibatkan Unit Percengahan dan Penyeludupan (UPP), Pengkalan Hulu yang telah menjalankan operasi di kawasan rehat dan rawat Sg Lebey Bandariang, dekat Gerik,” katanya pada satu sidang media di Ipoh, hari ini.

Ujarnya, tindakan empat warga asing  yang berkelakuan mencurigakan itu telah membawa kepada penemuan empat bungkusan guni  yang berisi kayu gaharu dan dianggarkan seberat lebih kurang 90 kg bersama-sama mereka.

Katanya lagi, kesemua empat warga asing tersebut ditahan reman bermula dari 20 Februari sehingga esok.

Manakala bagi kes kedua pula melibatkan penahanan sebuah pacuan empat roda yang dipandu oleh seorang warga asing yang didapati kenderaan tersebut penuh dengan muatan kayu gaharu.

“Pihak jabatan telah membuka kertas siasatan dan ia telah dikemukakan kepada pihak pendakwaraya Ipoh semalam dan kes dibawa ke Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar hari ini,” katanya.

Mengikut peruntukan Seksyen 68 dan 84, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, pihak jabatan turut berjaya menumpaskan kes ketiga  pada 22 Februari yang lalu sekitar jam 8.30 malam, hasil rondaan pihak Perhilitan Perak, Taman Negeri Royal Belum dan WWF di sepanjang jalanraya Timur Barat Gerik Jeli, Daerah Hulu Perak.

Jelas Roslan, rondaan tersebut berjaya menahan dua buah kenderaan yang kelihatan mencurigakan yang keluar daripada kawasan jalan balak lama Sungai Mendelum.

“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandu oleh seorang  warga tempatan membawa 7 bungkusan guni berisi kayu gaharu, 1 plastik berisi kayu gaharu dan beberapa peralatan yang digunakan untuk mengambil kayu tersebut,” katanya.

Hasil rondaan tersebut juga berjaya menahan sebuah kereta proton Wira yang dipandu warga tempatan dan bersamanya juga 5 orang warga asing yang turut disyaki terlibat dalam pengambilan kayu gaharu secara haram.

Roslan menyeru agar kesemua masyarakat bekerjasama dalam menangani pencerobohan hutan dan membendung habis-habisan penyeludupan kayu gaharu secara haram.

“Saya harap masyarakat sekeliling mampu memberikan maklumat dengan kadar segera jika mendapati keadaan yang mecurigakan berlaku dikawasan hutan simpan terutamanya,” katanya.

Jelasnya lagi, hasil kejayaan ketiga-tiga tersebut merupakan pendekatan National Blue Ocean Strategy dan 1NRE Enforcement Team (INET) jabatan dan pelbagai agensi penguatkuasaan yang berwajib.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");