Berita Hari Ini

Jadikan subjek Sains menyeronokkan

datuk seri idris jusoh

CYBERJAYA  – Ibu bapa dan guru perlu menjadikan pembelajaran sains sesuatu yang menyeronokkan untuk memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh berkata cara pembelajaran sains yang menyeronokkan boleh membantu meningkatkan jumlah pelajar aliran sains di negara ini kepada 60 peratus.

Menurut beliau, ketika ini, jumlah pelajar aliran itu 37 peratus.

“Janganlah salahkan pelajar sekiranya mereka tidak mengambil mata pelajaran sains, tetapi salahkanlah diri kita kerana tidak menjadikannya sesuatu yang menyeronokkan. Oleh itu, kita perlu jadikan sains sesuatu yang menyeronokkan bagi mendorong pelajar mengambil mata pelajaran STEM di sekolah.

“Pesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur 2014 (KLESF 2014) akan menampilkan mata pelajaran sains sebagai sesuatu yang menyeronokkan dan menarik.

Ia boleh memupuk minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran sains,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran KLESF 2014 di Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia Teknologi Tinggi (MIGHT) di sini hari ini.

KLESF 2014 akan berlangsung di Pusat Sains Negara dari 25 hingga 27 April untuk memupuk minat pelajar terhadap STEM dan meningkatkan pengetahuan pelajar serta orang ramai tentang kerjaya berkaitannya.

Pesta ini adalah sebahagian daripada inisiatif Sains Untuk Tindakan (S2A) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas bagi mengarusperdanakan penggunaan dan pemahaman tentang sains dalam kalangan anggota masyarakat, di samping mempromosikan inovasi serta teknologi sebagai satu daripada inisiatif pembaharuan strategik untuk pembangunan negara.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu KLESF 2014 Datuk Ir Hong Lee Pee berkata pesta ini akan meningkatkan jaringan antara sekolah, sektor awam dan swasta dalam perkongsian maklumat dan pengalaman tentang projek, kurikulum luar dan amalan baik dalam pendidikan STEM.

Menurut beliau komponen penting KLESF 2014 ialah Program Pementoran Kejuruteraan dan Reka Bentuk Sains Sekolah, yang merupakan satu skim pembelajaran berasaskan penerokaan, amali dan projek untuk STEM di sekolah, melibatkan universiti, industri dan komuniti profesional.

“Ia merupakan model pendidikan yang melibatkan institusi pengajian tinggi, profesion sains dan teknologi (S&T) dan industri dalam pembelajaran sains serta kejuruteraan di sekolah,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");