Perak Hari Ini

Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Tangani Kes Curi Pasir Lombong Di Perak

zambry bajet

Kerajaan Perak mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau kegiatan curi pasir lombong yang bergiat aktif khususnya di Daerah Batang Padang yang mengakibatkan kerugian hasil negeri mencecah nilai RM10 juta setahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri memandang serius kegiatan itu yang turut menggunakan khidmat samseng bagi melindungi operasi mengeluarkan pasir lombong sebelum dihantar ke luar Perak, kebanyakannya Selangor.

“Kegiatan curi pasir lombong dan silika di Perak merupakan isu yang serius dan kita di pihak kerajaan negeri bersetuju untuk mewujudkan jawatankuasa khas agar perkara ini dapat ditangani dengan sebaik-baiknya.

“Ia bukan urusan perniagaan semata-mata sahaja tetapi juga membabitkan kegiatan ‘under ground’ yang menggunakan khidmat samseng,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Ipoh, hari ini.

Pada Disember lalu, sebuah akhbar tempatan mendedahkan Perak mengalami kerugian hasil dianggarkan RM10 juta setahun akibat kegiatan curi pasir yang menggunakan khidmat tonto bagi melindungi kegiatan itu.

Antara lokasi kegiatan yang dikenalpasti ialah sekitar Chenderiang dan Stesen Temoh yang gondol selepas operasi mengambil pasir yang dijalankan tanpa kawalan.

Kerugian ditanggung kerajaan negeri bukan saja akibat pengeluaran pasir tanpa doket yang kebanyakan dihantar ke Selangor, malah membabitkan kegiatan memalsukan doket dengan cara meminda maklumat bagi mengaburi penguatkuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, kegiatan itu perlu dipantau bagi memastikan Perak tidak berhadapan masalah kekurangan bekalan pasir untuk kegunaan dalam negeri.

Katanya lagi, unjuran Jabatan Mineral dan Geosains mendapati bekalan pasir di paras bumi Perak dianggarkan hanya 58 juta tan metrik.

“Setiap tahun, lapan juta tan metrik pasir dikeluarkan oleh kira-kira lebih 800 pengusaha di Perak.

“Ini bermakna unjuran bekalan ini hanya mampu bertahan untuk tujuh tahun akan datang,” kata Zambry lagi.

Menurut beliau lagi, kerajaan negeri memperoleh pendapatan berjumlah hampir RM30 juta setahun hasil kegiatan pengeluaran pasir secara sah.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri juga tegasnya, sudah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes terbabit dengan kerjasama PTG.

Ditanya samada kerajaan negeri akan membekukan lesen pengeluaran pasir, Zambry menegaskan pihaknya akan menilai keperluan itu kelak.

“Ketika ini, jumlah pengusaha terlalu ramai iaitu 883 orang dan kita akan lihat keperluan untuk mengurangkan jumlah ini atau ia kekal tidak bertambah,” jelasnya beliau lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");