Jenayah

Jeritan Dalam Api

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Alor Gajah: Memilukan apabila seorang lelaki yang parah sempat menjerit meminta tolong ketika api marak menyambar tubuhnya dalam kemalangan di Jalan Padang Sebang-Alor Gajah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah malam, mangsa Wong Teck Keong, 37, yang gagal keluar menyelamatkan diri rentung dan mayatnya dikeluarkan sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian.
Menurut sumber, Wong yang memandu PROTON Saga BLM bersendirian dari arah Tampin dipercayai hilang kawalan setibanya di tempat kejadian lalu bertembung dengan lori dari arah bertentangan.

 

“Mangsa yang parah di kepala dan badan dipercayai tersepit di tempat duduk pemandu dan difahamkan cuba keluar untuk menyelamatkan diri tetapi gagal sebelum berlaku letupan kecil pada enjin.
“Akibat letupan itu, api di bahagian enjin mula merebak di hadapan dan membakar keseluruhan kereta mengakibatkan keseluruhan tubuh mangsa rentung,” katanya di lokasi kejadian, di sini, semalam. Sumber berkata, pemandu lori berkenaan B Parthiben, 34, pula patah kaki kanan dan dihantar ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan manakala kelindannya iaitu lelaki berusia lingkungan 20-an hanya cedera ringan.
Menurutnya, orang ramai cuba mengeluarkan mangsa namun gagal selain api mula marak membakar kenderaan lalu menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.

 

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah Pegawai Bomba Kanan II Mohd Suhairi Mohd Sufian berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan jam 12.57 pagi.
“Seramai enam pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke tempat kejadian dan sebaik tiba mendapati seorang pemandu kereta tersepit dalam kenderaannya yang terbakar.

 

“Bomba berjaya mengawal api daripada terus merebak kurang dari tiga minit namun menghadapi kesukaran mengeluarkan mayat mangsa berikutan sebahagian dari dagingnya melekat pada komponen kereta,” katanya di sini. Beliau berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa sejam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Mohammad Laham berkata, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu selepas bertembung dengan sebuah lori sebelum kereta dinaiki terbakar.
“Mayat mangsa dikeluarkan oleh sepasukan anggota bomba dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Mohd Marzoki Abd Fatah di talian 06-5563222 untuk membantu siasatan,” katanya.

 

 

 

-HARIAN METRO –

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2014020205463620140202054636/MA/Article/index_html

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");