Membawang Hari Ini

Jodoh Jual Ubat

khalid 1

Istana Budaya (IB) sebelum ini pernah merancang menampilkan aktivis teater tersohor Khalid Salleh untuk beraksi dalam teater Kena Main. Namun, ia tidak menjadi kenyataan di­sebabkan beberapa masalah tertentu.

Namun siapa sangka jodoh Khalid atau lebih dikenali sebagai Wak Khalid ada bersama IB dan buat kali pertamanya, dia akan beraksi di pentas berprestij itu pada 11 hingga 17 Mac ini menerusi teater monolog berjudul Jual Ubat.

Teater yang menyaksikan kerjasama IB, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu mengangkat naskhah berusia lebih dua dekad ini kepada khalayak sewajarnya dipuji. Apatah lagi Khalid sememangnya seorang seniman tulen dan bukan mencari glamor dalam bidangnya.

Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani mengakui perasaannya sukar digambarkan apabila Khalid menyatakan persetujuan untuk beraksi di pentas yang menjadi impian ramai penggiat teater ini.

“Rasa seperti satu keajaiban. Maklumlah sebelum ini IB merancang mahu menjemputnya dalam teater Kena Main tapi tak menjadi kenyataan. Dalam masa sama timbul pula kenyataan Khalid kurang selesa dengan IB yang dianggap mewah dan berjenama komersial berbanding dirinya yang bersifat marhaen.

“Apapun itu semua hanya di atas kertas kerana di luar kami sememangnya baik. Malah saya gembira kerana dia akhirnya beraksi juga di Lambang Sari dan kemunculannya pasti ditunggu-tunggu oleh ramai peminat,” katanya dalam sidang media pementasan itu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad.

Monolog Jual Ubat menampilkan dua bahagian yang menampilkan Khalid sebagai penjual ubat yang ingin menarik perhatian orang ramai.

Khalid sendiri sebenarnya berpengalaman sebagai penjual ubat di kawasan Benteng berhampiran Masjid Jamek, Kuala Lumpur sekitar tahun 1970-an dulu.

Dia kemudian membuka gelanggang Jual Ubat secara rasmi di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 2007, Rumah Yayasan Kesenian Perak dan Taman Budaya Pahang pada 2008, Taman Budaya Negeri Sembilan dan Taman Budaya Pulau Pinang pada 2011, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Malaysia dan terbaru di Rumah PENA pada 2013.

Khalid bukan calang-calang seniman kerana sudah menjaja Jual Ubat di negara jiran iaitu di Batam, Surabaya, Jakarta, Medan dan akan berkelana pula ke Tampines, Singapura dan Makassar, Indonesia bulan ini dan Mac depan.

Khalid berkata, semua pencapaian yang diperoleh tidak pernah menjadi kemega­han buatnya kerana dia hanya mahu berkarya.

“Saya tak pernah terasa pun begitu. Apa yang dilakukan adalah menghargai harapan orang. Kepuasan jual ubat ialah saya dapat lesen bercakap apa saja dari hal politik, agama dan pelbagai lagi. Secara tak langsung ia dapat merangsang minda penonton untuk berfikir rahsia kewujudan manusia.

“Saya garap naskhah Jual Ubat kerana orang selalu kata penjual ubat kuat menipu padahal bukan semuanya begini. Macam-macam nama gelaran ada pada penjual ubat.

“Walaupun ada yang kata kami bohong tapi orang tak ambil peduli dan tetap mendengar apa yang disampaikan. Allah SWT bagi rezeki pada yang berusaha. Jangan anggap penjual ubat bohong atau penipu,” katanya.

Khalid pernah dinobat sebagai penerima Anugerah Pelakon Pembantu lelaki Terbaik menerusi filem Azizah The Legend di Festival Filem Malaysia ke-11 pada 1994. Seterusnya dia dianugerahkan Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-14 dan Anugerah Skrin TV3 menerusi filem Jogho pada 1999.

Kejayaan terbesarnya adalah berjaya mengharumkan nama negara menerusi kemenangan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik (FFAP) ke-43 di Taipei, Taiwan pada 1998 menerusi filem Jogho. Dia juga adalah duta negara ke Festival Monodrama Asia di Taiwan pada 1989, Jepun pada 1991, Culcutta pada 1994 dan New Delhi pada 1995.

Tiket untuk menyaksikan Monolog Jual Ubat berharga RM35 boleh didapati di Kaunter Box Office IB (03-4026 5558), Wisma ITBM, Seksyen 10 Wangsa Maju (03-4145 1800), Kedai Buku 1Malaysia, UTC Pudu Sentral (03-2026 2217) dan Rumah PENA (03-2142 5824).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");