Berita Hari Ini

Kerajaan Perlu Perjelas, Runding Sebelum Laksana PBS – Nik Nazmi

pentaksiransekolahpbsPETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa Kementerian Pendidikan supaya mengadakan rundingan dan memberi penjelasan secara meluas mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) terlebih dahulu sebelum melaksanakan sistem tersebut.

Beliau berkata, PBS merupakan idea yang baik iaitu melahirkan pelajar yang lebih holistik berbanding sistem berkonsepkan peperiksaan semata-mata sebelum ini namun pelaksanaannya mendedahkan pelbagai kelemahan sehingga menimbulkan masalah kepada guru-guru, ibu bapa dan pelajar.

“Kementerian mestilah mencari sistem penilaian yang adil dan praktikal untuk pelajar-pelajar Tingkatan Tiga tahun ini yang masih lagi tertanya-tanya tentang nasib mereka. Sistem yang ada mestilah dirombak ataupun dikurangkan perkara yang mahu dianalisa.

“Rombakan sistem boleh dibuat dengan mencari jalan lebih efisien untuk mengemaskini sistem berkomputer PBS sama ada di peringkat sekolah, daerah atau negeri. Ini sekali gus mengurangkan beban guru-guru,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.

Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Setia berkata, bagi jangka panjang sebarang perubahan struktural seperti PBS ini memerlukan perbincangan meluas melibatkan pakar-pakar pendidikan, ibu bapa dan guru-guru serta memerlukan penerangan meluas di semua peringkat.

Menurut Nik Nazmi, walaupun PBS mempunyai idea yang baik dari sudut prinsip tetapi ia bertunjangkan autonomi dan kebertanggungjawaban sekolah yang tidak wujud di Malaysia.

Beliau menambah, Laporan Bank Dunia pada Disember 2013 mencatatkan antara masalah utama sistem pendidikan kita ialah pemusatan kuasa dalam bidang pendidikan.

“Sekolah-sekolah harus diberi kuasa memilih buku teks dan cara pengajaran sebelum sistem PBS diperkenalkan.

“Infrastruktur juga mestilah pada piawaian yang baik bagi mengelakkan masalah seperti yang telah berlaku berulang,” katanya.

Ditanya adakah PBS perlu dimansuhkan, Nik Nazmi berkata, “Pendirian saya ialah kita perlu melihat realiti hari ini. Saya tidak menolak idea PBS kerana ia merupakan idea yang baik tetapi pelajar-pelajar yang ebrada di Tingkatan Tiga tidak tahu sama ada mereka nak duduk periksa SBA (Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah) atau PMR (Penilaian Menengah Rendah) atau sebagainya.”

Sehubungan itu katanya, satu penyelesaian kepada masalah itu perlu disediakan bagi menyesuaikan dengan sistem yang sudah diperkenalkan sebelum ini.

Pelaksanaan PBS yang mendapat bantahan daripada guru-guru bagaimanapun tidak akan dimansuhkan dan hanya ditangguhkan sehingga kenyataan mengenainya diumumkan.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini berkata, satu bentuk baharu pelaksanaan sistem itu akan diputuskan pada 1 April depan yang dijamin tidak akan membebankan lagi golongan pendidik.

– mStar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");