Berita Hari Ini

Krisis makanan 15 tahun lagi?

food1SHAH ALAM – Malaysia dijangka menghadapi krisis makanan dalam tempoh 15 tahun akan datang jika pengambilan tanah pertanian yang digunakan untuk penanaman bahan makanan asasi tidak dikawal.

Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, statistik menunjukkan negara kehilangan kira-kira 106,000 hektar tanah pertanian.

Menurutnya, terlalu banyak tanah selama ini untuk penanaman padi diambil bagi tujuan pembangunan industri dan perumahan.

“Jumlah kehilangan tanah pertanian ini terlalu besar jika dibandingkan dengan apa yang dibangkitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 berkaitan jelapang padi baharu melibatkan Kota Belud, Batang Lupar di Sarawak serta Rompin dan Pekan di Pahang,” katanya dalam kenyataan, baru-baru ini.

Mohd Azmi berkata, antara perkara perlu dipandang serius untuk meningkatkan produktiviti padi beras negara bagi menjamin kecukupan makanan adalah dengan pemindahan teknologi, pengurusan tanah, pengurusan air serta sistem penyampaian yang berkesan sehingga ke peringkat petani.

“Kami juga akan mengadakan kempen besar-besaran untuk menentang monopoli hasil padi serta mendesak kerajaan mengembalikan peranan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang telah tersasar sejak penswastaannya kepada Bernas (Syarikat Padi Beras Nasional) dibuat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bela Tani, Mohd Subri Said berkata, pengorbanan petani bekerja bukan untuk sara hidup diri sendiri tetapi mereka memberi khidmat kepada rakyat dan negara.

“Dalam keadaan kos pengeluaran semakin meningkat, petani dihimpit dengan kos sara hidup yang begitu membebankan.

“Sekiranya petani mengerjakan sawah sekitar 5 relung, purata pendapatan mereka sebulan hanyalah sekitar RM700, iaitu masih di bawah paras kemiskinan,” katanya.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");