Membawang Hari Ini

Linda Onn: ‘Saya manusia biasa’

onn linda

PEPATAH Melayu, banyak perumpamaan yang wujud menunjukkan banyak perkara saling berkaitan.

Contohnya, bagai bulan dan bintang, bagai kumbang dan bunga, bagai pantai dan laut, bagai aur dengan tebing.

Begitu jugalah dengan hubungan sesama manusia, jiran tetangga, keluarga, sahabat waima antara wartawan dan artis.

Malah Eman Manan sendiri pernah berkata, artis dan wartawan ibarat ayam dan telur, tanpa ayam tiadalah telur dan tanpa telur tiadalah ayam.

Namun tindakan Linda Onn, 36, menghalang wartawan untuk membuat liputan majlis perkahwinannya seolah-olah menafikan tugas wartawan menyebabkan beberapa teman media berkecil hati dengan tindakannya itu.

Apatah lagi, Linda sebelum ini tidak mempunyai sebarang masalah dengan teman media membuat ada antara media bertindak memboikot majlis persandingannya yang diadakan Isnin lalu.

Enggan memperbesarkan lagi isu, penyampai radio Suria FM ini mengambil langkah untuk terus mengunci mulutnya dengan harapan segala kekeruhan dapat dijernihkan kembali.

Membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang di usia yang agak lewat, Linda berkata, di sangat menghormati permintaan suaminya, Ungku Azhar Ungku Muhammad Maznan, 34, yang mahukan majlis pernikahan mereka diadakan secara tertutup.

“Suami saya seorang yang sukakan ‘privasy’, jadi sebagai isteri saya hormati permintaannya.

“Saya tidak mahu lagi memberi sebarang komen mengenai perkara ini. Pertama kerana tidak mahu memburukkan lagi keadaan. Kedua bila kita melalui alam perkahwinan, kita mahu segala yang berlaku indah dan positif.

“Saya mahu gembira sahaja, saya manusia biasa yang tidak mampu untuk memastikan segala sempurna,” ujarnya kepada Zass.

Linda berkata, bagi mengeratkan hubungan dengan semua teman serta keluarga, dia telah menjemput rakan taulan termasuk rakan media pada majlis resepsinya di Ampang, Isnin lalu.

“Saya tidak lakukan secara besar-besaran, hanya majlis kecil-kecilan tapi dalam masa yang sama, kami dapat bertegur sapa dengan semua hadirin.

“Pada majlis tersebut, hanya 100 sahabat saya dijemput dan 100 lagi sahabat suami serta kaum keluarga sahaja,” katanya lagi.

Linda Onn, sah menjadi isteri kepada Ungku Azhar dalam majlis pernikahan yang diadakan di kediaman Linda di Setiahills, Bukit Indah, Ampang, Kuala Lumpur pada 27 Disember lalu.

Linda atau nama sebenarnya, Rozlinda Onn, menikah selepas solat Asar.

Sementara itu, berkongsi kehidupan baharu bersama suami tercinta, Linda berkata, kehidupannya kini bertambah bahagia dan sudah banyak berubah.

Apatah lagi dia kini sudah mempunyai dua buah keluarga dan fasa baharu ini dianggap sebagai salah satu proses normal yang dilalui oleh semua orang.

“Dulu saya sendiri bersama keluarga. Kini ada Azhar dan keluarganya.

“Jadi bilangan ahli keluarga saya sudah bertambah.

“Cuma tidak banyak lagi pengalaman yang saya boleh dikongsikan kerana masih baharu,” katanya yang mengakui pernah memasak pada minggu pertama perkahwinannya.

Berkongsi bibit perkenalannya dengan Azhar, Linda berkata mereka berkenalan melalui kawan-kawan, lima bulan sebelum berkahwin dan pada awal perkenalan mereka saling menguji antara satu sama lain.

“Azhar tidak suka wanita tertentu dan saya pula tidak suka lelaki tertentu.

“Jadi kami saling menguji dan bila kami selesa bersama ditambah pula dengan restu keluarga, kami terus ambil keputusan untuk berkahwin,” katanya.

Linda berkata, sikap Azhar yang ‘easy going’ dan sempoi membuatkan dia amat menyenangi lelaki itu.

“Dia seorang yang kelakar dan memudahkan saya. Malah aktiviti saya dan dia juga bertambah kerana kami ada aktiviti masing-masing,” ungkapnya.

Tak tolak rezeki

Ditanya soal cahaya mata, Linda berkata, mereka tidak merancang dan tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat.

“Insya-ALLAH ada rezeki awal, kami tidak tolak untuk memiliki cahaya mata dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkininya, Linda berkata dia masih sibuk dengan tugas sebagai penyampai radio dan juga beberapa program TV.

“Jadual saya masih seperti biasa, dan Azhar juga tidak menghalang untuk saya aktif dalam bidang seni,” katanya yang tidak menolak untuk kembali berlakon andai ada tawaran yang datang.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");