Berita Hari Ini

Loji Langat 2: Pemberian Tender Minggu Depan, Fasa Pertama Mula Dalam Tempoh 30 Hari

maximus-ongkili-march22KUALA LUMPUR: Kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihan (LRAL2) bagi fasa pertama akan dimulakan dalam tempoh 30 hari selepas pemberian tender kepada kontraktor, minggu depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata pembinaan LRAL2 yang tertangguh sejak 2008 itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan bekalan air terawat di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi sehingga 2025.

Katanya buat masa ini, kerja-kerja penggalian terowong bagi penyaluran air mentah dari Sungai Semantan di Pahang ke Sungai Langat di Selangor, sepanjang 44.6 kilometer sudah pun 90 peratus siap.

“Selepas mendapat kelulusan tanah dan kebenaran merancang semalam, kerajaan Persekutuan mengerakkan semua agensi terbabit untuk menyegerakan kerja-kerja pembinaan ini,” katanya kepada pemberita selepas meletakkan batu tanda bagi menyempurnakan kerja penyiapan Terowong Air Mentah Pahang-Selangor dekat sini, Khamis.

Menurut Ongkili, terowong itu berupaya menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari (JLH) untuk dirawat di LRAL2 dengan kapasiti 1,130 JLH bagi fasa pertama ini.

Pada Rabu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor menandatangani Memorandum Persefahaman (Mou) untuk penstrukturan semula industri air di negeri itu yang telah berlanjutan sejak 2008.

Ongkili juga berkata bagi memastikan pembinaan LRAL2 berjalan lancar, satu jawatankuasa pemantau akan ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau serta dianggotai wakil kerajaan negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.

“Jawatankuasa ini akan ditubuhkan segera bagi memastikan projek ini diselia mengikut jadual dan cepat dijalankan,” katanya.

Katanya LRAL2 dijangka siap dibina dalam 39 bulan iaitu pada tahun 2017.

Selain itu, katanya, projek mitigasi dengan peruntukan RM909 juta daripada kerajaan Persekutuan akan turut dimulakan segera bagi menambah baik sistem saluran air terawat.

Dalam pada itu, Ongkili berkata beliau berharap perbincangan untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri Selangor boleh diputuskan dalam 90 hari.

“Saya percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk mengendalikan pengambilalihan itu. Mereka (selangor) mempunyai 20 peratus saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas),” katanya.

Melalui MoU itu, kerajaan Selangor melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) akan mengambil alih empat syarikat konsesi air itu dengan kos RM9.65 bilion.

Pengambilalihan itu melibatkan Puncak Niaga Sdn Bhd, Syabas, Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd. (Splash) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");