Sukan Hari Ini

Lumba kuda: Asma terpaksa lupa hasrat

juara remaja dunia

JUARA remaja dunia endurance tahun lalu, Azizatul Asma Abdullah terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai Kejohanan World Open Endurance Championship yang dijadualkan berlangsung pada 28 Mac depan di Founten Bleu, Perancis setelah mengalami kecederaan ketika menyertai satu kejohanan di Lembah Bidong, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, Azizatul Asma mengalami patah tulang selangka, retak tumit kaki kiri dan menerima 10 jahitan di telinga.

Difahamkan, kejadian menimpa penunggang wanita pertama negara kelahiran Terengganu itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang sebaik perlumbaan baharu saja dilepaskan dan tiba-tiba kuda ditunggangi Azizatul Asma bertindak agresif menyebabkan dia terjatuh.

Berikutan kejadian tersebut, penunggang mewakili pasukan State of Terengganu Endurance Team (STET) itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ibu Azizatul Asma, Toh Puan Nariah Muhammad berkata, anak bongsunya menyertai kejohanan itu adalah untuk mengutip mata dalam kategori 120 kilometer (km).

Katanya, acara disertai Azizatul Asma itu juga merupakan siri latihan sebelum dia menyertai sesi kelayakan sebagai penunggang elit bagi acara endurance yang memberi peluang kepada Asma untuk bersaing dalam World Open Endurance Championship bagi acara 120km di Founten Bleu, Perancis nanti.

“Azizatul Asma dijadualkan berangkat seminggu lebih awal untuk mendapat keserasian bersama kuda di sana, bagaimanapun kami terpaksa membatalkannya disebabkan perkara ini.

“Saya turut bersedih kerana kejohanan ini adalah harapan dan cita-cita Azizatul Asma untuk berjaya dalam bidang sukan endurance yang digemarinya sejak kecil. Kami masih menunggu laporan perubatan kerana saya difahamkan Azizatul Asma akan dibawa ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.

Tahun lalu, penunggang muda negara itu melakar sejarah tersendiri apabila muncul juara remaja dunia endurance dalam Young Riders World Endurance Championship di Costa Azul, Uruguay.

Lebih manis, Azizatul Asma berjaya menamatkan dua acara terakhir disertainya iaitu 120km dan 80km dengan kutipan 768 mata sekali gus melayakkan dia meraih gelaran ‘Rider of The Year’.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");