Berita Hari Ini

Malaysia, destinasi utama bagi Uzbekistan

gambar hiasan 1

KUALA LUMPUR – Semakin ramai pelancong dari Uzbekistan meletakkan Malaysia sebagai satu daripada destinasi kegemaran mereka berikutan kemudahan mesra pelancong yang disediakan selain daripada masakan yang unik, kata Ketua Pengarah Pusat Pelancongan Islam (ITC) Zulkifly Md Said.

Beliau berkata rakyat Uzbekistan juga mendapati Malaysia sebuah destinasi mesra orang Islam yang mengamalkan kesederhanaan, dan ini telah memberikan satu kelebihan besar kepada Malaysia kerana majoriti rakyat Uzbekistan adalah orang Islam.

“Mereka rasa selamat dan terjamin dan mereka bebas menikmati percutian mereka dan melawat seluruh negara,” kata Zulkifly kepada Bernama pada satu majlis jerayawara pelancongan Uzbekistan yang diadakan di sini baru-baru ini.

Jerayawara anjuran kedutaan Uzbekistan di sini bertujuan mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai Uzbekistan. Ejen pelancongan dari Uzbekistan mengambil bahagian bagi menawarkan pakej penerbangan dan penginapan dan pada masa sama menjalin kerjasama dengan ejen pelancongan tempatan.

Bercakap semasa jerayawara itu, Zulkifly berkata ITC, sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, mengalu-alukan sebarang usaha kerjasama dengan kerajaan Uzbekistan dalam menggalakkan pelancongan antara kedua-dua buah negara.

Sementara itu, Duta Uzbekistan di Malaysia, Shukor Sabitov, berkata hubungan erat antara kedua-dua buah negara dapat dilihat daripada peningkatan jumlah rakyat Uzbekistan melawat Malaysia dan rakyat Malaysia yang melawat Uzbekistan, menunjukkan bahawa lebih daripada 2,000 rakyat Malaysia melawat Uzbekistan tahun lepas manakala 11,000 rakyat Uzbekistan melawat Malaysia.

“Ini menunjukkan bahawa walaupun industri pelancongan di negara kita yang agak muda, ia kini menjadi satu perniagaan yang berkembang pesat disokong oleh hubungan dua hala dan hubungan diplomatik yang masuk tahun ke-22 dengan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata jerayawara itu merupakan satu platform terbaik bagi memperkenalkan potensi pelancongan Uzbekistan, yang menjadi tempat kepada 4,000 monumen dan tapak seni bina bersejarah, dengan banyak daripadanya dimasukkan dalam senarai Warisan Dunia UNESCO dan di bawah perlindungan masyarakat dunia.

Shukor berkata pada tahun 2013, pelancong Uzbekistan meningkat 16 peratus dan lebih daripada dua juta pelancong antarabangsa melawat negara itu.

Sementara itu, pengurus besar Sheraton Imperial Kuala Lumpur yang baharu, Stephan Sieberg, berkata pelbagai tarikan pelancong di Malaysia seperti pantai, pulau-pulau dan bandar-bandar berdaya maju merupakan satu kelebihan bagi Malaysia.

“Adalah sesuatu yang baik bahawa Malaysia mempunyai banyak kepelbagaian dalam negara yang terdiri daripada pantai, pulau dan bandar-bandar yang berdaya maju,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

“Ada kepelbagaian yang hebat dalam TMM ini. Saya yakin sepenuhnya bahawa kempen TMM akan menarik banyak perhatian,” katanya pada sesi minum petang dengan wartawan baru-baru ini.

Beliau berkata satu lagi kelebihan bagi Malaysia adalah “pertumbuhan yang sihat” dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan unjuran pertumbuhan ekonomi antara 5.0 kepada 5.5 peratus tahun ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai “ekonomi yang sihat”.

Bagaimanapun, beliau merasakan bahawa untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia semasa kempen, perlu ada usaha sama bagi mewujudkan permintaan dan jangkaan.

Beliau berkata semua bandar di Malaysia dan bukan setakat Kuala Lumpur sahaja perlu melakukan usaha ini untuk menjadikan kempen itu satu kejayaan.

Untuk mewujudkan kesedaran mengenai apa yang boleh ditawarkan Malaysia kepada pelancong, banyak usaha dan penyelidikan perlu dilakukan mengenai “apa yang anda mahu persembahkan kepada dunia”, katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");