Berita Hari Ini

Mutu padi rendah punca kadar pemutuan tinggi

bernasSHAH ALAM – Mutu padi yang rendah di beberapa kawasan Merchong, Rompin merupakan sebab peratusan pemutuan tinggi diterima kilang beras Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Memetik kenyataan dikeluarkan Jabatan Komunikasi Korporat Bernas, kawasan Merchong merupakan kawasan jelapang baru di Pahang yang rata-ratanya belum mempunyai prasarana lengkap bagi tujuan penghasilan padi berkualiti tinggi.

“Sepanjang tempoh 21 hari pembelian padi bagi musim 1/2014 ini, kilang beras Bernas Rompin telah melaksanakan pemutuan sebenar sepertimana saranan kerajaan dan merekodkan purata pemutuan sekitar 25.1 peratus sahaja untuk jumlah padi 1,038 tan metrik.

“Daripada jumlah tersebut, hanya 70 tan metrik padi yang menerima pemutuan tinggi melebihi 30 peratus,” kenyataan itu dipetik, hari ini.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, seramai lebih 50 orang pesawah dari Mukim Bebar berhimpun di hadapan Kilang Beras Bernas (KBB) Kuala Rompin bagi menyatakan bantahan terhadap Bernas yang didakwa mengenakan peratus potongan tinggi selepas kaedah pemutuan sebenar diguna pakai.

Mereka juga mendakwa, kadar potongan itu tidak sepadan dengan mutu padi sebenar yang secara kasarnya dilihat baik dan tidak sepatutnya dikenakan peratus potongan tinggi bagi wap basah serta padi hampa.

[Berita berkaitan: Petani berang kemuka bantahan]

Tambah Bernas, sejak awal lagi, proses pemutuan di KBB Rompin dijalankan secara telus dengan kehadiran petani yang secara kebiasaannya diwakilkan kepada pemandu lori dan turut disaksikan wakil daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK).

“Semua proses pemutuan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan dengan menggunakan peralatan yang betul.

“Bernas telah mengadakan kerjasama pemasaran padi bersama PPK Rompin bermula musim tuaian baharu 1/2014 melibatkan padi di kawasan Merchong,” katanya.

Tambahnya, melalui kerjasama ini, pihak Bernas telah berbincang dengan PPK supaya mengkaji semula kos pengangkutan yang dikenakan kepada pesawah bagi mengurangkan bebanan ditanggung mereka.

Mengulas lanjut, pihak Bernas juga sentiasa bekerjasama dengan agensi pertanian seperti Kawalselia Padi dan Beras, PPK.

Kerjasama itu katanya merangkumi melaksanakan pemutuan sebenar serta bentuk bantuan galakan berupa insentif dan khidmat nasihat kepada petani.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");