Berita Hari Ini

Najib Minta Organisasi Antarabangsa Tidak Hanya Tumpu Kepada Keuntungan

najib_2KUALA LUMPUR: Ekonomi dunia tidak sepatutnya hanya memberi tumpuan ke atas keuntungan, malah perlu turut serta memastikan pertumbuhan dalam pekerjaan, taraf hidup yang lebih baik dan peka terhadap risiko alam sekitar dan kewangan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bercakap pada jamuan malam mesyuarat Pertubuhan Antarabangasa Lembaga Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) di sini Khamis malam, Perdana Menteri berkata dunia kini berhadapan cabaran yang melepasi usaha untuk memastikan pasaran yang lebih selamat atau meningkatkan penyertaan.

Najib berkata dalam menghadapi ketidaksamaan yang semakin meningkat dan fokus kepada keputusan jangka pendek, ekonomi dunia perlu dijajarkan untuk membuka peluang dan menyediakan kemakmuran berpanjangan dengan pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

“Ia merupakan satu cabaran, bukan hanya untuk pasaran pesat membangun, malah ekonomi maju,” katanya dan menambah pasaran boleh dan mesti memain peranan dalam penjajaran semula ini.

Najib berkata untuk berjaya, semua pemegang kepentingan, pembuat dasar, pengawal atur dan industri mesti memainkan peranan masing-masing.

“Berdasarkan pentingnya peranan dalam memacu pertumbuhan, kita mesti terus memudahkan akses kepada pembiayaan untuk menjalankan perniagaan, terutama syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana dan usaha lain yang inovatif yang mampu menjadi pemangkin pertumbuhan,” katanya.

Pada masa yang sama, Najib berkata mereka boleh mempromosi kesaksamaan menerusi penyelesaian inovatif dan mampu ditanggung yang meluaskan akses kepada pembiayaan untuk pelabur dalam pasaran modal.

Memandangkan semula cabaran ini melepasi sempadan, Najib berkata semua pihak perlu memberi komitmen dalam perbincangan terbuka bagi mengharmonikan urusan untuk mengelak pertindihan dasar.

“Semakin pasaran bersatu, lebih penting untuk komuniti pengawal atur dunia bekerja bersama-sama dalam mencapai persepakatan,” katanya.

Anggota IOSCO mengawal selia lebih 95 peratus pasaran modal dunia bernilai kira-kira US$127 trilion.

Lebih 100 perwakilan IOSCO dalam 30 bidang dari seluruh dunia berhimpun di Malaysia dari 19 hingga 21 Feb untuk menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengarah itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan pasaran modal.

Jawatankuasa Pemandu Pasaran Pertumbuhan dan Pesat Membangun IOSCO turut mengadakan mesyuarat pertama, dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Ranjit Ajit Singh.

Sementara itu, di peringkat domestik, Najib berkata usaha Malaysia bagi menjajarkan rangka kerja kawal aturan domestik ke tahap standard antarabangsa, diperakui secara meluas.

Dalam program Penilaian Sektor Kewangan baru-baru ini, Malaysia didapati memiliki tahap pelaksanaan yang sangat tinggi, dengan Objektif dan Prinsip IOSCO dan menduduki tempatan keempat di dunia bagi perlindungan pelabur oleh Bank Dunia.

“Kita sudah membangunkan pasaran modal yang matang dan pelbagai bernilai US$812 bilion. Pasaran bon kita kini ketiga terbesar di Asia dari segi peratusan sumbangan kepada KDNK; Malaysia ialah pusat terbesar industri unit amanah dan mempunyai syarikat senaraian awam tertinggi di Asia Tenggara,” kata Najib.

Malaysia sudah mewujudkan pasaran modal Islam bernilai US$452 bilion dan merupakan pusat pendidikan kewangan Islam dengan penerbit sukuk terbesar di dunia.

“Infrastruktur kewangan kita sudah memain peranan penting dalam pembangunan Malaysia dan ia akan meneruskan usaha itu ketika kita bersedia menyertai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” kata Perdana Menteri.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");