Membawang Hari Ini

Nama Keith Foo di puncak

Keith Foo

Gara-gara sambutan hebat drama bersiri Ariana Rose, nama pelakon dan model kacak, Keith Foo naik mendadak dan menjadi kegilaan ramai ketika ini. Itulah yang dapat disaksikan ketika sesi pratonton episod ke-26 dan 27 drama bersiri Ariana Rose arahan Raja Ahmad Alauddin yang berlangsung di Pusat Beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Sejak awal lagi, lebih 5,000 peminat fanatik sudah membanjiri ruang legar pusat beli-belah berkenaan semata-mata ingin beramah mesra, bergambar serta ‘selfie’ dengan pelakon pujaan mereka itu dengan lebih dekat lagi.

Secara peribadi, pelakon kelahiran Bahau, Negeri Sembilan ini mengakui terkejut dengan populariti mendadak yang dikecapinya ketika ini.

“Saya sendiri tidak me­nyangka penerimaan peminat sedemikian rupa kerana tidak sampai setahun pun berlakon dengan produksi tempatan.

“Sebagai pelakon, tanggungjawab saya hanya untuk memberikan yang terbaik pada watak Tengku Adam dalam Ariana Rose. Kejayaan drama itu juga turut menyuntik semangat pada saya untuk terus memperbaiki kelemahan dalam aspek lakonan.

“Ia juga bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya semua yang terbabit dalam pembikinan drama ini daripada produser, Ziela Jalil, pengarah dan barisan pelakon drama ini serta kru yang terbabit,” katanya.

Selain Keith, sesi pratonton turut dijayakan barisan pelakon Ariana Rose iaitu Nabila Huda, Hisyam Hamid dan Arja Lee. Terus terang, kata Keith yang sudah sedekad mencuba nasib dalam bidang lakonan di Indonesia, dia juga mempunyai misi untuk sama-sama memartabatkan bidang seni tanah air.

“Saya sangat gembira kerana kehadiran saya mendapat sambutan yang cukup positif daripada peminat tempatan. Justeru, saya memilih untuk kembali ke Malaysia sekali gus mencari peluang dalam bidang seni tempatan.

“Bukannya saya sudah berhenti berlakon di Indonesia, sebaliknya buat masa ini saya ingin fokus pada projek lakonan dengan produksi di Malaysia dulu,” katanya.

Tuah nampaknya terus menye­belahi pelakon dan model yang mula mencipta nama di negara seberang ini apabila dilamar untuk menjadi artis di bawah naungan Astro, baru-baru ini sekali gus peluang untuknya mengembangkan karier seni ke tahap lebih tinggi.

Selain Ariana Rose, Keith turut berlakon dalam telefilem Karna Kamu Cinta arahan Michael Ang bergandingan dengan pelakon popular Erra Fazira dan Nasha Aziz arahan Michael Ang. Tidak ketinggalan, dia juga berlakon dalam drama, Dalam Setiap Sujud bergandingan dengan pelakon jelita, Nur Fathia.

Sangkal dakwaan tidak laku di Indonesia

Pelakon berbakat besar ini turut menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya dia kembali ke Malaysia kerana namanya tidak popular di Indonesia. Hakikatnya, kata Keith, sampai masanya untuk dia kembali menyumbang­kan bakat dalam bidang lakonan di Malaysia.

“Saya sudah 10 tahun membina nama di Indonesia. Justeru, sampai masanya menyumbang­kan sesuatu untuk sama-sama memartabat­kan bidang seni tanah air pula.

“Pada masa sama, saya juga ingin kembali merapatkan semula hubungan dengan keluarga di Malaysia kerana ha­nya bertemu mereka sekali setahun saja kerana kesibukan berlakon di Indonesia sebelum ini,” katanya.

Walaupun tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon di sini, Keith juga masih mendapat tawaran berlakon di Indonesia.

“Siapa kata saya tidak laku lagi di Indonesia? Sebenarnya, saya sudah menolak lapan tawaran projek filem dan drama rantaian di Indonesia kerana sibuk berlakon di Malaysia. Jika ada kelapangan, saya masih berlakon dengan produksi di sana,” katanya.

Antara drama dan filem lakonannya di Indonesia ialah filem Mati Suri, Paku Kuntilanak, Bidadari Jakarta, Pe­ngantin, Pantai Biru, Akibat Pergaulan Bebas 2 dan The Last Moment di Indonesia. Selain itu, beberapa sinetron seperti Cinta dan Anugerah serta Sinar.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");