Berita Hari Ini

Pasaran luar lebih kompetitif

pasaran luar lebh kompetitif

PASARAN automotif negara luar, misalnya Australia, yang jauh lebih kompetitif berbanding pasaran Malaysia adalah antara sebab mengapa harga kereta Proton dijual lebih murah di sana.

Penganalisis dari firma penyelidikan industri automotif Frost and Sullivan berkata, terdapat beberapa sebab mengapa Proton menjual harga keretanya lebih murah di luar negara berbanding Malaysia.

“Sebab utama adalah pasaran yang sangat kompetitif, kedua kadar cukai sesebuah negara itu berbeza dan ketiga adalah dari segi penjenamaan.

“Jika Proton menjual kereta mereka lebih mahal daripada harga pemain automotif di Australia, sudah pasti kereta mereka tidak akan terjual kerana Australia mempunyai penanda aras bagi harga kereta yang dijual,” katanya.

Menurut beliau, Proton yang dianggap bukan pesaing kepada kenderaan buatan Jepun dan Amerika Syarikat yang dijual di Australia
perlu memberi harga lebih baik bagi menarik pelanggan di sana.

Dari segi cukai pula, beliau berkata, kadar cukai di setiap negara adalah berbeza dan di Australia, duti eksais dan duti importnya adalah lebih rendah sehingga hampir mencecah kepada sifar.

“Sebab itulah harga kereta yang dijual di sana lebih murah berbanding di negara kita.

“Bagi penjenamaan pula, Proton masih baru di Australia dan jenamanya masih belum dikenali secara meluas dan kerana itu perlu menjual kereta dengan harga sedikit rendah,” katanya.

Beliau juga berkata, jika Proton ingin menjual kereta dengan harga mahal di pasaran luar, syarikat itu perlu menambah ciri-ciri kepada keretanya yang dijual kepada pelanggan di luar negara.

Harga murah bukan harga sebenar

Sementara itu, penganalisis Hong Leong Investment Bank ketika dihubungi berkata, harga kereta Proton di Australia adalah lebih murah kerana promosi.

“Jika kita lihat, di laman sesawang Proton Australia, telah ditulis harga rendah itu adalah harga promosi, bukan harga sebenar,” katanya.

Beliau juga berkata, bagi pasaran Australia, penggantian stok kenderaan di sana selalunya berlaku lebih pantas berbanding di Malaysia.

“Misalnya, pengeluar kenderaan seperti Toyota mempunyai stok baru untuk dibawa masuk ke pasaran Australia, jadi mereka akan lakukan promosi dengan mengurangkan harga untuk menjual stok lama.

“Apa yang penting, kos kereta masih lagi dapat ditampung dan kos berkaitan dikurangkan supaya pengeluar kereta dapat kurangkan harga semasa promosi,” katanya.

Sementara itu, penganalisis CIMB Research pula berkata, harga Proton murah di luar negara kerana penjenamaan Proton itu sendiri belum cukup kukuh.

“Jika mahu masuk pasaran automotif negara luar, perlu ada harga yang kompetitif serta penjenamaan kukuh kerana jenama Proton tidak seperti jenama lain yang sedia ada.

“Jenama Proton tidak berapa dikenali dan kualitinya belum diyakini kerana masih baru (di pasaran negara luar) jadi mereka perlu kurangkan harga kereta untuk tembusi pasaran di sana,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");