Jenayah

Pembunuhan Bekas Pengerusi DAP Kampung Jering Tiada Kaitan Politik – KP Perak

crimeIPOH: Kes pembunuhan bekas pengerusi DAP Kampung Jering di Ayer Tawar dekat sini minggu lepas tidak mempunyai sebarang kaitan politik atau melibatkan isu perkauman, kata Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata oleh yang demikian siasatan polis kini diteruskan dengan lebih mendalam ke arah aspek pergaulan sosial, keperibadian serta hubungan kekeluargaan mangsa.

“Selain itu kita juga meneliti aspek perniagaan yang dijalankannya kerana mangsa merupakan seorang kontraktor yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan serta tanaman semula kelapa sawit yang dijalankan secara berskala besar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini Selasa.

Pada 19 Februari lepas, Wong Kong Ting, 56, mati ditembak di bahagian badan, tangan dan dada di depan rumahnya di Kampung Jering, Ayer Tawar dalam kejadian pukul 11 malam.

Pihak polis menemui beberapa kelongsong peluru di tempat kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek yang terlibat lebih daripada seorang.

Acryl Sani berkata polis sedang mengumpul lebih banyak maklumat dan latar belakang mangsa daripada seorang lelaki yang ditahan reman.

“Kita masih lagi dalam proses membuat beberapa pertanyaaan kepada tahanan itu supaya kita ada petunjuk lain,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun tidak bermakna lelaki tersebut merupakan suspek utama kerana dia hanya membantu pihak polis.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");