Membawang Hari Ini

Rabecca lebih tenang berhijab

tenangPELAKON Rabecca Nur Al-Islam Ahmad, atau Rabecca Al-Islam pernah dikecam hebat kerana sering berpenampilan seksi. Para peminat kepada aktres yang berusia 28 tahun ini turut membandingkan imej berani wanita itu dengan keindahan namanya yang nyata sangat jauh berlawanan.

Bagaimanapun, usai mengerjakan ibadah umrah pada minggu lalu, Rabecca sekali lagi mengejutkan para peminatnya apabila dia mengambil keputusan mengenakan busana menutup aurat serta mengenakan hijab.

Dia yang pernah popular menerusi drama bersiri Dejavu Di Kinabalu itu mengakui, kini dirinya berasa lebih tenang setelah tampil dengan imej baharu. Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Rabecca menerusi telefon baru-baru ini.

Kosmo!: Tahniah kerana Rabecca tampil dengan imej baharu. Mengapa anda mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya?

RABECCA: Setelah hampir dua minggu berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah umrah, saya berasa kekok jika tidak mengenakan hijab di Kuala Lumpur. Perasaan tenang ketika berada di sana begitu kuat dirasai hingga ke hari ini. Insya-Allah, saya akan terus berpenampilan sebegini sehingga bila-bila.

Bagaimana Rabecca boleh terbuka hati untuk mengerjakan ibadah umrah?

Keluarga sebelah suami merancang untuk ke Mekah secara berkumpulan. Jadi, dia mengajak saya untuk turut serta. Namun, saya agak sibuk dan jadual kerja pula sangat padat. Bagaimanapun, ibu saya yang banyak menggalakkan dan memberi nasihat kepada saya untuk ikut serta bagi mengerjakan ibadah umrah. Katanya, ramai orang yang boleh bercuti ke luar negara tetapi tidak mampu untuk ke Mekah. Menyedari hakikat itu dan peluang yang sudah ada di depan mata, saya pun bersetuju untuk mengikuti rombongan tersebut.

Apakah persediaan Rabecca sebelum menjejakkan kaki ke Mekah?

Saya banyak mengikuti kursus serta membaca buku-buku berkaitan ibadah umrah.

Apakah perkara yang paling Rabecca rindu setelah pulang ke tanah air?

Saya sangat rindu untuk melihat Kaabah kerana saya berasa sungguh tenang ketika berada di sana. Saya juga rindu untuk bersembahyang di Madinah. Apa yang membuatkan saya begitu gembira ketika berada di sana ialah kelancaran untuk beribadah. Saya sangat bersyukur kerana diberi ketenangan sebegitu oleh Allah S.W.T.

Bagaimanakah reaksi suami apabila melihat perubahan Rabecca?

Suami saya cukup terkejut apabila melihat saya pulang dari pejabat dengan memakai hijab. Namun, dia merupakan seorang suami yang sangat memahami dan menyokong setiap keputusan saya.

Sebelum ini, Rabecca terkenal dengan imej yang seksi. Apakah yang anda ingin lakukan terhadap baju-baju yang anda miliki?

Setakat ini, saya hanya ada sedikit koleksi baju yang menutup aurat, jadi saya harus mencari baju-baju baharu untuk menggantikan baju lama. Bagi baju-baju yang seksi, saya mengambil keputusan untuk menjualnya menerusi akaun Instagram saya. Jika berminat, mereka boleh membeli dengan potongan harga sehingga 80 peratus.

Adakah Rabecca ingin meneruskan kerjaya sebagai pelakon walaupun sudah berhijab sepenuhnya?

Ya, saya tetap akan berlakon. Minat saya terhadap bidang seni sememangnya tidak pernah padam. Saya sangat suka berlakon dan akan terus bergelar sebagai seorang pelakon. Saya juga ingin mencuba untuk menjadi pengacara rancangan berunsur dakwah jika diberi peluang.

Apakah perkembangan terbaharu karier Rabecca?

Saya sekarang dalam proses untuk memulakan bisnes pengaturcaraan majlis bersama kakak saudara. Perniagaan ini juga melibatkan dekorasi pelamin untuk majlis perkahwinan. Buat masa ini, kami beroperasi di Kelantan tetapi saya masih cuba untuk mencari tempat yang sesuai untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");