Membawang Hari Ini

Remy, Maya baiki diri

mayaBIDANG lakonan bukanlah satu cabang seni yang bergerak secara mendatar. Melaluinya, setiap bakat yang diketengahkan menerusi tenaga dan aura penampilan seorang pelakon perlu melepasi beberapa fasa sehingga ia mencapai satu tahap yang mampu untuk dibanggakan.

Tidak terlalu klise, bakat yang yang kerap diasah melalui platform filem atau drama mampu melahirkan pelakon-pelakon yang bukan sahaja berkualiti, malah mampu untuk menggalas sebarang tanggungjawab yang diberikan.

Bagi pelakon Remy Ishak, 32, walaupun sudah lapan tahun menceburkan diri dalam bidang lakonan, dia masih terus ingin memperbaiki mutu lakonannya di samping meneliti kekurangan yang ada pada dirinya.

Utamakan filem

“Walaupun sudah agak lama berada dalam industri lakonan, tetapi masih banyak yang perlu saya belajar dan perbaiki. Terutama dari segi pemilihan watak menerusi drama mahupun filem,” ujar Remy.

Ditebak mengenai prioritinya dalam bidang lakonan, Remy berkata, dia kini lebih selektif dan mengutamakan tawaran filem berbanding drama.

“Saya akui lebih mengutamakan tawaran filem berbanding drama. Tetapi, ini tidak bermaksud saya mengabaikan tawaran-tawaran lain.

“Tidak semua watak dalam filem yang ditawarkan kepada saya bagus. Kadangkala, watak-watak dalam drama yang berbajet rendah juga turut mencabar kredibiliti saya sebagai seorang pelakon. Semuanya bergantung pada watak itu sendiri,” ujarnya yang bakal muncul dengan filem terbaharu lakonannya bersama Maya Karin dan Bront Palarae, Sejoli yang diarahkan oleh Osman Ali.

Abang

Ketika ditebak mengenai kekerapan pengarah filem itu memilih dirinya sebagai pelakon, jelas Remy, dia bersyukur kerana masih diberi peluang oleh Osman Ali untuk berlakon di bawah arahan pengarah berkaliber itu.

“Osman Ali merupakan individu yang bertanggungjawab membawa saya mengenali dunia lakonan. Saya sangat selesa bekerja dengannya dan sudah menganggapnya sebagai seorang abang.

“Walaupun hubungan kami agak rapat, namun, apabila berada di lokasi, dia merupakan seorang pengarah yang berwibawa dan tahu apa yang dia mahukan,” ujar Remy lagi.

Klausa itu disokong oleh Maya. Sukar untuk menolak ‘lamaran’ daripada sutradara terkenal itu memandangkan kebanyakan karakter yang ditawarkan menarik hati.

“Tidak pernah saya rasa dilayan seperti anak emas Osman Ali. Cuma apa yang boleh saya katakan, saya bertuah untuk dapat bekerja dengan beliau.

“Setiap kali tawaran dibuka, pasti wataknya sangat menarik, sehinggakan tidak sanggup saya tolak. Malah, gandingan saya pun selalunya ada keserasian yang kuat,” tambahnya yang bakal tampil menerusi filem psiko-thriller berjudul Juanita bersama Cristina Suzanne tidak lama lagi.

Tahun produktif

Sementara itu, Maya Karin atau pemilik nama penuh Maya Karin Roelcke melihat tahun 2014 adalah masa terbaik untuk dia mengisi penuh kalendarnya.

“Saya ada terbaca satu artikel yang mengatakan bahawa 2014 merupakan tahun terbaik untuk sesiapa yang dilahirkan pada tahun (yang diwakili lambang haiwan) kambing. Mungkin akan ada banyak kerja tahun ini dan kekal aktif lagi dua tiga tahun selepas ini. Tapi jelas sekali 2014 bukan tahun untuk (saya) berkahwin.

“Benar barangkali saya seorang yang suka sibukkan diri dan terlalu memikirkan soal kerja dalam jangka masa panjang tapi saya tahu di mana untuk berhenti sama ada bercuti atau mencari inspirasi,” katanya yang berhajat untuk ke Afrika Selatan sekali lagi.

Ditanya adakah Maya bercadang untuk mengambil anak angkat memandangkan usianya pada tahun ini sudah mencecah 35 tahun, ujarnya, perkara itu pernah terlintas dalam benak fikirannya sebelum ini.

“Pernahlah juga terlintas dalam fikiran untuk mengambil anak angkat tapi komitmen itu tinggi. Namun, saya tidak boleh sewenang-wenangnya ambil anak angkat tetapi misalnya hanya mampu berjumpa dua kali seminggu.

“Tidak lagi buat masa sekarang takut saya sendiri yang tidak mampu nanti,” jelasnya.

Sejoli

Sementara itu, bercakap tentang pembabitan mereka dalam Sejoli yang bakal ditayangkan pada 20 Februari ini, Remy yang memegang watak sebagai Hardy berharap, karakter nakal yang dipersembahkannya melalui filem ini dapat diterima oleh para penonton.

“Watak Hardy tidak terlalu serius kerana karakter yang perlu saya mainkan banyak berteraskan komedi. Ia lebih santai dan berbeza dengan watak yang pernah saya pegang sebelum ini,” ujarnya yang percaya dengan kekuatan barisan pelakon lain filem itu.

Sebagai Gina, Maya menyifatkan Sejoli sebuah naskhah yang mudah untuk diterima oleh penonton.

Katanya: “Gina merupakan seorang gadis yang cukup kelakar dan sering cuai dalam apa jua hal yang dilakukannya.

“Selain itu, kerjasama yang diterima daripada Remy dan Bront cukup memuaskan. Saya begitu teruja dapat bekerjasama dengan mereka,” ujar Maya.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");