Membawang Hari Ini

Sentuhan Eoon buat ‘rating’ mencanak

eoon

Majlis penganugerahan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) menyaksikan drama Love You Mr Arrogant dipilih sebagai Drama Pilihan berdasarkan undian peminat, baru-baru ini.

Drama yang berjaya menarik tontonan lebih 4.6 juta penonton turut mengangkat pelakon lelaki utama Azlee Khairi sebagai Pelakon Lelaki Pilihan.

Malah drama 26 episod itu juga melayakkan gandingan Azlee dan pelakon utama wanita Zara Zya sebagai Hero dan Heroin Pilihan.

Drama arahan Eoon Suhaini itu diadaptasikan dari novel Love You Mr Arrogant terbitan Karya Seni yang ditulis oleh Aliesha Kirana.

Ikuti temu bual wartawan RAP, Michelle Gun ([email protected]) bersama Eoon yang berkongsi cabaran yang dilalui ketika menghasilkan drama berkenaan dan perkembangan kerjayanya.

RAP: Tahniah Love You Mr Arrogant dipilih sebagai Drama Pilihan pada Anugerah DFKL. Boleh kongsi perancangan anda seterusnya?

EOON: Buat masa sekarang, saya sibuk menyiapkan drama Jika Itu Takdirku dan kerja penggambaran selesai pada hari ini.

Selepas ini, saya merancang menghasilkan telemovie berjudul Titisan Keinsafan yang mengetengahkan mengenai keinsafan dan agama.

Filem ini mengenai seorang pemandu lori yang berperwatakan baik di hadapan keluarga namun sebenarnya adalah kaki perempuan, suka berjudi dan mabuk. Lelaki ini kemudian insaf selepas menghidap sakit jantung dan mula mendekati diri dengan agama.

Kerja penggambaran filem ini dijangka bermula pada 2 Mac selama tujuh hari dan dibintangi pelakon Rita Rudaini dan Sharnaaz Ahmad.

Selain telemovie, saya juga akan mengarahkan drama baru adaptasi novel Jauh Dari Cinta yang mengisahkan mengenai percintaan sedih. Drama ini juga menampilkan Azlee dan Atikah Suhaimee sebagai watak utama. Azlee dipilih kerana kejayaannya membawa watak dalam Love You Mr Arrogant cuma karakternya dalam drama terbaru ini berbeza.

RAP: Sebelum ini, pernah terlintas dalam fikiran drama Love You Mr Arrogant mendapat sambutan hangat?

EOON: Saya tidak menyangka drama ini mendapat rating tinggi malah terkejut apabila episod pertama mencecah tontonan sebanyak 1.9 juta. Jujur kata saya memang gementar ketika episod pertama ditayangkan di TV3 kerana mengetahui penonton masih rindu drama Cinta Jannah.

Pada masa itu saya takut mendapat komen negatif dari penonton namun gembira kerana episod awal Love You Mr Arrogant mendapat sambutan memberangsangkan sehingga ‘trending’ di laman sosial. Syukur kerana saya juga dapat barisan pelakon yang hebat sekali gus menjayakan drama ini.

Drama ini mungkin tidak akan menang anugerah kalau bukan kerana sokongan berterusan peminat.

RAP: Adakah perkara menarik yang berlaku di sebalik tabir?

EOON: Banyak antaranya gara-gara menggunakan nombor telefon saya dalam episod pertama Love Your Mr Arrogant, saya menerima ribuan panggilan daripada peminat setiap hari sehingga telefon bimbit hampir rosak!

Perkara ini terjadi ketika salah satu babak dalam episod berkenaan memerlukan Zara menyebut nombor telefonnya. Disebabkan kami terlupa membeli kad SIM untuk babak itu, saya menggunakan nombor telefon bimbit sendiri.

Peminat yang menghubung saya terdiri daripada pelbagai negara termasuk Indonesia, Brunei dan pelajar Malaysia di Dubai semata-mata mahu bercakap dengan Zara selain memberi pandangan mereka mengenai drama ini.

Saya memang tidak menyangka Love Your Mr Arrogant mendapat perhatian dari Indonesia dan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara yang menonton drama ini menerusi laman web Tonton.

Ini mungkin kerana saya menggunakan beberapa lagu Indonesia dalam drama berkenaan.

Sehingga sekarang saya sering diganggu oleh peminat namun tidak bercadang bertukar nombor telefon kerana sudah lama menggunakannya.

RAP: Apakah cabaran dihadapi ketika pembikinan drama itu?

EOON: Cabaran utama adalah menterjemahkan novel Love You Mr Arrogant kepada drama. Saya ada baca novel itu dan mendapati jalan ceritanya menarik. Oleh kerana tidak mahu jalan cerita drama itu klise seperti dalam novel, saya mengambil pendekatan dengan membuat sedikit perubahan pada watak.

Saya cuba memikirkan bagaimana untuk menghasilkan adegan menarik. Sebelum itu, saya ada menonton filem Korea yang mengisahkan mengenai seorang lelaki kaya yang angkuh untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai ciri-ciri lelaki berperwatakan sedemikian.

Berdasarkan novel, jalan ceritanya sangat klise iaitu perempuan kampung dipaksa berkahwin dengan lelaki kaya yang sombong.

Satu lagi cabaran iaitu pemilihan lokasi penggambaran sesuai dengan konsep urban yang ditonjolkan dalam drama berkenaan. Selain lokasi, barisan pelakon yang dipilih perlu memiliki wajah kacukan, tampan dan cantik, sesuai dengan konsep urban.

RAP: Bagaimana dengan tajaan. Adakah mudah bagi drama tempatan?

EOON: Untuk menghasilkan drama ini berdasarkan novel berkenaan, saya juga menitik berat rumah dan kereta yang akan digunakan ketika penggambaran. Memang susah untuk mendapatkan rumah dan kereta mewah yang menepati watak drama berkenaan. Namun saya bernasib kerana ada pihak sudi menaja kereta mewah itu sekali gus ia memudahkan tugas saya. Memang penajaan dapat membantu pembikinan sesebuah drama atau filem.

RAP: Mudah bagi Zara dan Azlee mendapatkan keserasian?

EOON: Sebenarnya, pada awal penggambaran, Zara dan Azlee belum dapat keserasian namun selepas beberapa episod, barulah mereka dapat menyesuaikan diri. Bagaimanapun, saya lega kerana tiada babak dipotong atau penggambaran semula.

RAP: Apakah kelemahan yang anda rasakan dapat diperbaiki dalam Love You Mr Arrogant?

EOON: Ada beberapa babak yang saya rasa kurang berpuas hati namun tidak dapat dielak kerana hujan. Salah satu daripadanya adalah babak di kawasan pantai serta bandar Pulau Pinang yang memerlukan penggambaran pada waktu malam.

Hujan sepanjang malam menyebabkan kerja penggambaran terganggu dan saya tidak dapat pemandangan cantik seperti dimahukan.

RAP: Pada pendapat anda, apakah kebaikan Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL)?

EOON: Anugerah DFKL ini bagus untuk menghargai bakat pengarah baru kerana mempunyai kategori untuk drama serta filem pendek. Ada ramai pengarah baru dan anugerah seperti ini membantu penggiat seni bebas membantu menaikkan nama mereka dalam industri perfileman tempatan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");