Berita Hari Ini

Stesen kereta api baharu beroperasi

stesen kreta api

KUALA KANGSAR – Hasrat beberapa warga emas menaiki kereta api percuma dari Kuala Kangsar ke Ipoh sempena meraikan pembukaan Stesen Keretapi Kuala Kangsar yang baharu di sini, semalam, tidak kesampaian berikutan tawaran itu palsu.

Bagaimanapun, menurut Chan Bao Sheng, 70, biarpun dia dan rakannya berasa tertipu dengan sebaran tawaran palsu itu, dia berpuas hati apabila dapat  datang dan melihat pembangunan stesen berkenaan yang kini jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

“Mana tahu rupanya maklumat itu salah, tetapi tak apalah, saya dapat tengok stesen ini pun dah cukup baik, lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti lif, ruang menunggu yang selesa dan tapak parkir luas.

“Lain kali, saya boleh datang ke sini kalau saya mahu pergi ke Butterworth seperti ketika saya kecil-kecil  dulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, pengunjung, Aznan Abd Rani, 33, berkata, tidak sabar untuk menggunakan perkhidmatan kereta api terbabit itu nanti berikutan keadaan stesen berkenaan yang selesa.

“Stesen lama memang kurang selesa, mungkin kerana keadaannya yang sudah usang dan sudah lama digunakan.

“Stesen baru ini memang sangat jauh bezanya dengan yang lama, tambahan pula ada kawalan keselamatan dan tak perlu bimbang dengan kenderaan yang ditinggalkan nanti,” katanya.

Sementara itu, pelancong dari Perancis, Natacha Kinidian, 28, berkata, dia turut berpuas hati dengan keadaan stesen itu  yang selesa.

“Bangunan ini sangat cantik dan selesa. Memang beri keselesaan kepada pelancong,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, wakil  stesen berkenaan, Azizul Rahman Muhamad memaklumkan sebanyak 16 kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar stesen tersebut.

Selain itu, menurutnya, terdapat ruang menunggu disediakan di tingkat satu bangunan itu yang mampu memuatkan sehingga 90 pengunjung dalam satu masa.

“Malah, ada empat lif disediakan untuk kegunaan awam. Selain itu, kemudahan untuk orang kurang upaya (OKU) seperti tandas dan sebagainya juga turut disediakan.

“Segala urusan pembelian tiket boleh dilakukan di sini dan waktu perjalanan pula masih sama seperti sebelum ini,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa penduduk datang melihat sendiri keadaan stesen kereta api berkenaan yang mula dibuka kepada umum kira-kira jam 11 pagi, semalam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");