Perak Hari Ini

Surat Palsu: MB Perak Arah Speaker Buat Laporan Polis

kaseven-513

Speaker Perak diarah agar membuat laporan polis berhubung surat palsu kononnya dihantar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan yang memaklumkan perletakan jawatannya sebagai wakil rakyat dan mengisytiharkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri memandang serius penyebaran surat palsu tersebut yang diterima pejabat Speaker pada 4 Januari lalu kerana ia membabitkan kredibiliti institusi legaslatif negeri Perak.

“Kalau benar seperti yang dilaporkan oleh Kesavan bahawa surat itu palsu, saya turut bersimpati kerana beliau kini berada di ambang perkahwinan tetapi terpaksa pula berhadapan dengan situasi seperti ini.

“Saya juga harap ia bukan drama dari Kajang ke Perak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, sebentar tadi.

Ditanya mengenai tuduhan pembangkang penyebaran surat palsu ini satu lagi konspirasi Barisan Nasional (BN), Zambry berkata:

“Biasalah dan bagi saya bukan luar biasa jika BN dituduh sedemikian yang menggambarkan seolah-olah ia satu rancangan dan permainan tersusun seperti yang dilaporkan dalam blog pembangkang.

“Oleh itu, saya minta Speaker buat laporan polis dan mengemukakan bukti serta rekod orang ramai yang berurusan di pejabat terbabit,” katanya lagi.

Pagi tadi, Kesavan tampil membuat laporan di IPD Ipoh berhubung penyebaran surat palsu itu yang didakwanya sebagai cubaan untuk mencemar nama dan reputasinya sebagai ADUN Hutan Melintang.

Tindakan itu juga katanya, berkemungkinan dengan niat untuk memburuk-burukkan imej PKR.

“Saya terkejut melihat maklumat pada surat palsu tersebut yang memaparkan nama dan nombor kad pengenalan saya selain turut mengisytiharkan saya keluar daripada PKR.

“Justeru, saya telah menghubungi Speaker dan memaklumkan kepadanya mengenai penyebaran surat palsu itu,” katanya.

Jelasnya lagi, fitnah tersebut telah tersebar luas dan mendapat perhatian daripada semua pihak termasuklah penyokongnya yang mahu penjelasan berkenaan kesahihan surat tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Kesavan berharap agar kerajaan negeri Perak akan membuat laporan polis berkenaan penyebaran fitnah tersebut supaya ia tidak mencemarkan institusi tersebut.

Beliau juga mahu laporan polis itu mendapat perhatian dan siasatan sewajarnya supaya individu yang terlibat dapat diberkas dengan segera.

“Ini adalah satu kesalahan jenayah yang boleh mencemarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri Perak kerana individu ini mempermain-mainkan kredibiliti dewan undangan negeri,” katanya.

Katanya lagi, tandatangan pada surat tersebut adalah sangat berbeza daripada tandatangannya yang sebenar.

Jelasnya lagi, peristiwa ini sedikit sebanyak telah mengganggu aktiviti sehariannya memandangkan beliau bakal melangsungkan perkahwinan, Isnin ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");