Sukan Hari Ini

Tengku Abdullah calon terbaik

Tengku Abdullah

“TENGKU Abdullah (Sultan Ahmad Shah) paling layak dilantik sebagai Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) jika benar Sultan Ahmad Shah melepaskan jawatan.”

Demikian respons bekas pemain kebangsaan, Datuk Namat Abdullah ketika diminta mengulas mengenai siapakah calon sesuai untuk dilantik sebagai Presiden baharu FAM bagi penggal 2014-2018.

Namat berkata, Tengku Abdullah memiliki pengalaman luas dalam arena bola sepak tempatan dan antarabangsa untuk membimbing FAM ke tahap lebih tinggi.

“Kita sudah boleh nampak karakter baginda (Tengku Abdullah). Kita sendiri boleh lihat bagaimana baginda memimpin Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sehingga menyaksikan skuad hoki negara berada di ranking ke-13 dunia.

“Jika benar Tuanku (Sultan Ahmad Shah) mahu melepaskan jawatan itu (Presiden FAM), saya fikir Tengku Abdullah adalah calon paling layak memandangkan baginda sendiri adalah Timbalan Presiden FAM ketika ini.

“Berbekalkan pengalaman yang luas dan ilmu yang tinggi, saya percaya Tengku Abdullah tidak berdepan masalah untuk membimbing FAM ke peringkat lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Isnin lalu, Kosmo! melaporkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menamakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai antara calon sesuai untuk menjawat Presiden FAM.

Selain Tunku Ismail, Annuar juga mencadangkan nama Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah, Datuk Seri Musa Aman, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang dilihat komited melibatkan diri secara langsung dengan bola sepak.

Sementara itu, legenda bola sepak Kelantan, Dali Omar turut bersetuju sekiranya individu yang memiliki pengalaman luas dalam bola sepak sebagai calon sesuai untuk dilantik sebagai Presiden FAM.

“Saya tidak tahu siapakah calon untuk sesi penggal baharu nanti tetapi saya berharap biarlah orang itu memiliki pengalaman untuk membimbing FAM pada tahap lebih baik.

“Individu ini harus tahu setiap masalah di peringkat akar umbi dan harus diingat, calon yang bakal menjawat Presiden FAM berdepan tugasan yang sukar.

“Ini kerana calon terbabit akan mencorakkan skuad kebangsaan dengan memberikan rancangan-rancangan teliti demi kebaikan bola sepak negara,” katanya.

Terdahulu, FAM menetapkan kongres badan induk bola sepak negara itu akan diadakan pada 25 Mei depan.

Sebanyak 20 ahli gabungan FAM bakal mengundi untuk memilih calon bagi jawatan yang dipertandingkan iaitu Presiden, Timbalan Presiden (dua orang), Naib Presiden (empat orang) dan Ahli Majlis (10 orang) yang terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita untuk penggal 2014-2018.

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");