Membawang Hari Ini

Teruja Rancang Perkahwinan 2 Anak Teruna

Datuk Yusof Haslam

Sejak berita mengenai pengarah muda terkenal, Syamsul Yusof menghantar rombongan merisik pelakon Puteri Sarah Liyana baru- baru ini, ramai cuba mendapatkan pengesahan daripada empunya diri, tetapi gagal mendapatkan kenyataannya.

Sehubungan itu bapa Syamsul, produser terkenal, Datuk Yusof Haslam menjadi sumber kedua untuk mendapatkan berita lanjut mengenai majlis pernikahan dan persandingan mereka.
Bertemu di majlis pelancaran musim baru siri popular, Gerak Khas baru-baru ini, Yusof tidak keberatan berkongsi cerita mengenai persiapan perkahwinan anaknya.

Walaupun sibuk dengan penggambaran musim baru Gerak Khas terbitan produksinya, Skop Production Sdn Bhd, Yusof akui masih sempat menguruskan hal dua anak lelakinya yang bakal mengakhiri zaman bujang tidak lama lagi.
Anak sulungnya, Syamsul menghantar cincin tanda kepada Puteri Sarah dan dilaporkan akan bernikah Mac depan, manakala anak bongsunya yang juga pengarah muda, Syafiq, bertunang dengan Aeisyah Zainal tahun lalu dan dijadualkan bernikah dalam waktu terdekat.
Kata Yusof, dia bercadang mengadakan majlis pernikahan dan persandingan dua anak bujangnya serentak selepas berbincang dengan isterinya, Datin Fatimah Ismail.

Yusof juga tidak bercadang mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran kerana ia hanya menggalakkan pembaziran. “Bagi saya, biar majlis pernikahan Syamsul dan Syafiq dibuat secara sederhana. Yang penting perkara wajib. Saya dan isteri juga bercadang buat persandingan mereka serentak kerana mudah dan senang manakala majlis pernikahan dilaksanakan lebih awal.
“Kalau boleh, biar abangnya ‘jalan’ dulu tetapi majlis persandingan diadakan serentak,” katanya.

Mengenai bakal menantunya, Yusof menyenangi pilihan anak bujangnya untuk dijadikan suri. Apatah lagi Puteri Sarah adalah anak seni dan sudah biasa serta faham keadaan industri seni.
“Sarah bagus dan berbakat besar. Cuma keputusannya untuk mengundur diri dari dunia seni selepas berhijab harus dihormati semua pihak. Saya tidak ada halangan apabila anak memilih untuk bernikah dengan sesama artis.
“Bagi saya, jodoh sesama artis ini kerana selalu bertemu dan kadangkala jodoh ditemukan dengan orang keliling kita. Keluarga Sarah juga bagus dan menerima kehadiran anak saya dan kami sekeluarga dengan baik. Diharapkan perancangan untuk majlis pernikahan dan persandingan berjalan lancar,” katanya.
Jelas Yusof, Syafiq dan bakal isterinya pula sudah lama berkenalan. Walaupun masih muda iaitu sama-sama berusia 21 tahun, mereka berdua matang.
“Syafiq meminta majlis pernikahan mereka dijalankan waktu sekarang. Memang dia muda tetapi saya lihat dia matang dan mampu berdikari. Pada usianya sekarang, dia sudah ada syarikat penerbitan sendiri.
“Kata Syafiq, jika bernikah sekarang dengan Aeisyah, dia dapat mengatur hidup dengan lebih mudah. Apatah lagi selepas berkahwin dan membina keluarga, dia boleh menumpukan perhatian kepada kerjaya dan syarikat ditubuhkan,” katanya.

 

 

 

– HARIAN METRO-

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terujarancangperkahwinan2anakteruna/MA/Article/index_html

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");