Berita Hari Ini

Tiga Kesalahan Peniaga Dikesan

kpdnkk

SITIAWAN – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) daerah Manjung berjaya mengesan tiga kesalahan dilakukan peniaga ketika operasi skim kawalan harga Tahun Baharu Cina di pasar Kampung Koh di sini, kelmarin.

Pengarah PPDNKK Perak, Mohd Hilmi Mohd Noor berkata, dua kesalahan dilakukan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan satu kes tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu.

Menurutnya, sehingga kini peniaga mematuhi arahan dengan meletakkan harga ditetapkan bagi barangan kawalan sempena musim perayaan.

“Ini adalah antara operasi yang kita lakukan secara berterusan dan kebetulan tibanya musim Tahun Baharu Cina jadi operasi terus dipergiatkan.

“Pada hari ini (kelmarin) kita berjaya mengesan tiga kesalahan dilakukan oleh peniaga melibatkan akta timbang dan sukat serta tidak meletakkan tanda harga berwarna merah jambu. Nilai rampasan adalah RM300,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas operasi di pasar Kampung Koh yang turut disertai Ketua Cawangan PPDNKK Manjung, Omar Ismail kelmarin.

Mohd Hilmi berkata, bermula pada 20 Januari hingga 29 Januari lalu, pihaknya memeriksa sebanyak 13,342 premis perniagaan termasuk pasar, medan selera dan pasar raya di seluruh Perak.

“Daripada pemeriksaan itu kita berjaya mengesan sebanyak 231 kes melibatkan nilai rampasan sebanyak RM70,843 dan kompaun RM16,800.

“Daripada 231 kes itu, sebanyak 160 kes melibatkan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 manakala selebihnya kes Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya.

Beliau berkata, operasi itu akan diteruskan sehingga satu tempoh yang bakal diumumkan nanti bagi memastikan peniaga tidak melanggar undang-undang ditetapkan.

Katanya, kakitangan di setiap cawangan akan terus melakukan operasi di kawasan masing-masing malah pihaknya turut membawa pemimpin setempat seperti penghulu untuk sama-sama menyertai operasi.

“Kita akan mengajar mereka berkenaan harga dan beberapa peraturan lain melibatkan peniaga supaya mereka juga dapat membantu mengesan jika ada peniaga yang melakukan kesalahan,” katanya.

 

 

 

-SINAR HARIAN –

http://www.sinarharian.com.my/tiga-kesalahan-peniaga-dikesan-1.246461

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");