Perak Hari Ini

Tumpu Tugas Hakiki, Agensi Pusat Diminta Tidak Terlibat Aktiviti Perlombongan

zambry daaKerajaan Perak menggesa agar agensi Pusat khususnya yang terbabit dalam sektor pertanian tidak menceburi aktiviti perlombongan di negeri itu sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya dalam menjalankan peranan masing-masing berdasarkan kepada persefahaman yang dimeterai antara kedua-dua belah sebelum ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sejak akhir-akhir ini, ada agensi-agensi tertentu tampil mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk menjalankan aktiviti perlombongan di Perak.

“Kita harap agensi-agensi ini dapat laksanakan tugas hakiki dan bukannya menceburi aktiviti perlombongan berdasarkan kepada persefahaman yang wujud antara kerajaan negeri sebelum ini yang meluluskan tanah kepada mereka untuk diusahakan dengan tanaman kelapa sawit dan getah.

“Saya ingin tegaskan dari segi undang-undang, mereka hanya dibenarkan untuk mengusahakan tanaman di atas permukaan tanah sahaja dan sebarang deposit yang tersimpan dalam tanah adalah hak milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Ipoh, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, aktiviti perlombongan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sepenuhnya seperti yang termaktub dalam Enakmen Mineral 2003.

Selain itu, kerajaan negeri katanya, sudah menubuhkan MB Incorporated (MBInc) yang bertanggungjawab dalam bidang berkaitan mineral termasuklah perlombongan di Perak.

Tambahnya, kandungan tanah tidak sesuai untuk tanaman kelapa sawit dan getah menjadi alasan agensi terbabit mengemukakan permohonan untuk menjalankan aktiviti perlombongan di tapak yang sudah diluluskan kerajaan negeri.

“Jika tanah itu tidak sesuai, pulangkan semula kepada kerajaan negeri tetapi mereka mahu kandungan mineral yang ada di bawah tanah,” katanya sambil menyifatkan agensi terbabit cuba menjalankan aktiviti perniagaan secara kreatif dengan mengemukakan permohonan berkenaan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");