Berita Hari Ini

Tunaikan Pesan Ibu

Empat beradik

KOTA BHARU – Pesanan ibu empat beradik yang masih ditahan pihak berkuasa Sweden, Shalwati Nor Shal supaya semua anaknya itu dihantar belajar ke sekolah harian akan dikotakan ahli keluarganya dalam masa terdekat ini.

Ibu saudara kanak-kanak terbabit, Shaleena Nor Shal, 42, berkata, Shalwati turut berpesan supaya menjaga anaknya dengan baik.

“Anak kakak saya memang sejak kecil apabila pulang ke Malaysia, mereka lebih suka tinggal bersama saya. Mereka manja dengan saya dan hubungan kami amat rapat.

“Mereka hanya mempunyai masalah penguasaan bahasa Melayu dan kurang faham dialek Kelantan, namun biasanya anak saya dijadikan penterjemah bahasa kepada mereka,” katanya kepada media semasa ditemui di  Kampung Wakaf Tok Wali, di sini, semalam.

Shaleena berkata, empat beradik itu akan ditempatkan di sekolah berhampiran bagi memulakan sesi persekolahan dalam masa terdekat.

“Kami akan hantar mereka ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Kala dan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kala, Melor, yang beberapa meter sahaja jaraknya dari rumah bagi memenuhi permintaan ibu mereka yang mahu anaknya ditempatkan di sekolah bantuan penuh kerajaan.

“Mereka akan menguasai bahasa Melayu asas dengan mengambil tutor pakar bahasa Melayu nanti,” katanya. Shaleena yang juga guru Bahasa Inggeris di SMK Agama Tok Bachok, Tangok (Bachok) juga memberi keyakinan anak saudaranya akan menguasai bahasa Melayu dalam tempoh masa singkat.

“Kami akan memohon supaya anak sulung kakak saya (Aishah Azizul Raheem, 14) agar ditempatkan di kelas yang sama dengan anak saya bagi memudahkan dan melancarkan proses pembelajaran mereka,” katanya.

Biarpun sudah mempunyai empat anak sendiri, Nik Muhammad Aiekal Nik Ahmad Farid, 17, Nik Muhammad Afieq, 15, Nik Muhammad Akid, 10 dan Dhia Soffiya Aleesya, 2, namun penjagaan tersebut turut disokong suaminya, Nik Farid Nik Abdullah, 44, yang bertugas sebagai Pegawai Parol Jabatan Penjara Malaysia, Cawangan Bachok,.

Bapa saudara kanak-kanak itu, Badrul Hisyam Makzan pula berkata, semua anak saudaranya itu juga telah khatam al-Quran seawal usia 6 tahun kerana kakaknya amat menitikberatkan ilmu agama.

Perkara itu diakui Aishah yang turut memberitahu telah biasa bersama dengan sepupunya yang lain.

“Saya gembira berada di sini dan pasti dapat menyesuaikan diri dengan suasana di tanah air. Cuma (kami) kurang fasih bahasa Melayu. Saya suka masakan Melayu,” katanya.

Empat beradik tersebut, Aishah, dan tiga adiknya, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, tiba di sini,  kira-kira jam 9 malam, kelmarin.

Mereka turut ditabur pulut pulih semangat oleh datuk mereka, Nor Shal Nordin, 70, dan solat hajat bersama jemaah masjid berdekatan.

Dalam pada itu, Pengarah Pelajaran  Kelantan, Husin Awang, ketika dihubungi berkata, pihaknya sedia membantu empat beradik itu sebaik mungkin untuk memulakan persekolahan mereka.

“Pihak kami tidak mempunyai masalah menempatkan mereka di mana-mana sekolah yang dirasakan sesuai dan akan memberikan kerjasama bagi mempercepatkan mereka memulakan persekolahan,” katanya.

 

 

 

– SINAR HARIAN –

http://www.sinarharian.com.my/nasional/tunaikan-pesan-ibu-1.246970

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");