Jenayah

Warga Nepal dipenjara 10 tahun kes bunuh penyelia

wrga nepal

Johor Bahru: Seorang lelaki warga Nepal terselamat daripada hukuman gantung, selepas Mahkamah Tinggi memerintahkannya dipenjara 10 tahun kerana membunuh penyelianya, dua tahun lalu.

Subir Gole, 27, diperintah menjalani hukuman itu selepas Hakim Datuk Abd Halim Aman menukar pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (b) kanun sama selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan asal.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pekerja kedai kek dan roti itu dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati kerana menyebabkan kematian Tan Ai Ping, 28.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ming Ang Bakery House di No 12, Jalan Sutera 3, Taman Sentosa di sini, kira-kira jam 8.20 malam, 6 September 2012.

Abd Halim dalam hujahnya berkata, bukti dan keterangan mendapati tertuduh melakukan kesalahan itu selepas timbul provokasi oleh si mati secara psikologi dan fizikal sepanjang empat bulan bekerja di bawah seliaan mangsa.

“Secara rasional, tanpa mengira adat, agama dan kepercayaan, jika diungkit mengenai ibu bapa atau keturunan, itu melampaui batas dan apa hak si mati berbuat demikian.

“Mahkamah mendapati tertuduh membuat kesalahan itu tanpa niat dan perancangan, malah si mati meninggal dunia 15 jam selepas tikaman dan tidak wujud elemen niat.
“Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya buktikan prima facie mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan terhadap tertuduh.

“Hukuman berdasarkan fakta dan awak (tertuduh) seharusnya berterima kasih kerana berdasarkan fakta, awak terlepas hukuman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Abd Halim memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 10 tahun bermula tarikh ditahan pada hari kejadian.

Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Rahimah Abdul Majid, manakala peguam K Segaran mewakili tertuduh.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");