Isu Panas

Zaid jawab tuduhan Rafizi

ziSebagai orang politik, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, tindakan beliau meminta pertimbangan kerajaan negeri bagi pihak orang ramai atau ahli perniagaan yang tidak dikenali tidak menjejaskan integriti beliau.

Sebaliknya, sebagai salah seorang pemimpin PKR selama satu tahun dari 2009 hingga 2010, beliau hanya menggunakan kedudukannya dalam politik pembangkang untuk meminta pertimbangan, bukan memaksa kerajaan mengikut kehendaknya.

“Amalan ahli perniagaan meminta pertolongan atau sokongan daripada ahli politik adalah biasa dalam sistem kita dan ia diamalkan oleh UMNO, Pas, DAP dan lebih-lebih lagi PKR.

“Adakah itu pun dia (Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli) tidak tahu membezakannya,” katanya mengulas pendedahan Rafizi semalam, yang mendakwa Zaid, sebagai calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang tidak layak bercakap mengenai integriti kerana beliau dikatakan pernah melobi projek dengan kerajaan negeri Selangor ketika menjadi ahli PKR.

Jelas Zaid, beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam kes yang didedahkan oleh Rafizi itu kerana syarikat berkenaan tiada kena mengena dengan beliau atau keluarganya.

Malah, tambah beliau, pihak yang meminta beliau tolong itu juga bukan kawan, tetapi ahli perniagaan yang datang meminta pertolongannya kerana menganggap beliau boleh menolong.

“Jelas sekali, Rafizi adalah seorang budak jahat dan berhati busuk yang cuba mereka-reka cerita kononnya saya cuba mempengaruhi kerajaan negeri Selangor untuk kepentingan peribadi.

“Kalaulah Rafizi hendak memusnahkan integriti saya sekalipun, mengapa tidak membuat sidang akhbar bersama Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim), anggota Exco atau pegawai tinggi kerajaan negeri dan kemukakan bukti yang saya terbabit atau ada kepentingan tertentu dalam urus niaga berkenaan.

“Apakah Rafizi tidak sedar bahawa Pejabat Penasihat Ekonomi dan beliau sendiri bukan tempat yang kondusif untuk melobi? Rafizi tidak sedarkah bahawa di Selangor ini, beliau sebagai Penasihat Ekonomi Anwar tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan projek.

“Sebagai bekas menteri dan pengamal undang-undang, saya tahu peraturan. Saya tahu semuanya itu adalah dalam bidang kuasa Menteri Besar dan Exco,” katanya pada sidang media di kediamannya di Petaling Jaya.

Dalam pendedahan semalam, Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan dilaporkan berkata, Zaid pernah melobi kepadanya untuk mendapatkan tanah bagi satu projek melibatkan rakannya semasa beliau menjadi CEO Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Menurut Rafizi, walaupun pada tempoh yang pendek iaitu setahun, Zaid tidak segan menggunakan kedudukan dalam parti untuk mempengaruhi keputusan kerajaan negeri.

Ditanya lanjut apakah permintaan daripada syarikat berkenaan ketika itu, Zaid berkata, salah sebuah syarikat mempunyai masalah kelulusan untuk memajukan tanah mereka seluar 26 ekar kerana kerajaan negeri Selangor memberikan syarat yang ketat.

Sebuah lagi syarikat, katanya, mahu membuat kerjasama dengan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk terbabit dalam sektor pembinaan perumahan.

“Jika saya memajukan (menghantar) dua emel kepada Rafizi, ia bukan bererti saya melobi dan jika saya hendak melobi untuk kepentingan diri sendiri, saya boleh terus berjumpa dengan Menteri Besar atau Exco, bukan dengan Rafizi yang ketika itu hanya menjadi budak pejabat Anwar,” katanya.

Zaid turut menuntut Rafizi menjawab kepada rakyat kenapa lari atau meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, adakah kerana beliau melobi untuk mendapatkan projek atau disebabkan Anwar dan Rafizi dibakulsampahkan oleh Pejabat Menteri Besar.

– MalaysiaGazette

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");