Membawang Hari Ini

A Musical Affair barometer sedekad Il Divo

divoTahun ini, kumpulan vokal lelaki yang terdiri daripada David Miller, Carlos Marín, Urs Bühler dan Sébastien Izambard sekali lagi dijemput untuk Il Divo A Musical Affair: The Greatest Songs Of Broadway Live Concert di Genting Highlands, Pahang untuk persembahan dua malam berturut-turut pada 14 dan 15 Mac lalu.

Terlalu awal untuk penulis yang baru pertama kali bersua dengan empat nama berbakat besar itu meletakkan ekspektasi sebelum melabuhkan punggung di Arena of Stars, Genting Highlands pada malam kedua persembahan mereka.

Kalau sebelum ini pun, penulis hanya mendengar beberapa buah lagu yang digubah, dialih bahasa dan dinyanyikan semula oleh Il Divo dalam versi klasikal contohnya Regresa A Mi (Unbreak My Heart, Tony Braxton), Por Ti Sere (You Raised Me Up, Secret Garden) dan Solo Otra Vez (All By Myself, Eric Carmen), kali ini penulis dihidangkan santapan baharu daripada anak didik Simon Cowell itu.

Standard

Selepas 10 tahun bergelar kesatuan dalam sebuah kumpulan yang berpegang pada kekuatan genre pop, Il Divo memilih untuk tampil dalam nafas baharu iaitu muzikal Broadway yang sudah pasti sangat popular dalam kalangan masyarakat Barat sejak era 1950-an.

A Musical Affair barangkali cukup sinonim dengan gaya baharu yang disampaikan dalam album kali ini. Il Divo menyenaraikan lagu termasyhur sepanjang zaman yang dipetik daripada pementasan muzikal Broadway di Hollywood antaranya Camelot, Carousel, West Side Story, Evita dan Les Miserables.

Tepat pukul 8.45 malam, persembahan dimulakan. Walaupun lagu-lagu muzikal Broadway mungkin tidak menepati citarasa khalayak massa di Malaysia secara amnya, tapi 8,500 tempat duduk bernilai RM180 hingga RM980 berjaya dijual sepanjang dua malam dan menariknya, kedua-dua malam panggung penuh!

Tonight, sebuah lagu yang dipetik daripada pementasan West Side Story (1956) membuka pentas persembahan Il Divo kali ini. Sedikit goyah permulaan mereka kali ini, namun mereka perlahan-lahan mula menyesuaikan diri dengan ruang yang diberi.

Sepertimana seloroh Urs: “Cuaca, sambutan dan atmosfera kali ini membuatkan kami tidak keruan. Sampaikan rambut saya pun sukar untuk kekal lurus sepanjang konsert. Tapi jangan bimbang, kami akan meletakkan satu barometer baharu untuk peminat kami.”

Orkestra

Kuartet itu menyambung persembahan dengan lagu Some Enchanted Evening (muzikal South Pacific, 1949) seperti ironi untuk memanaskan suhu termometer mereka yang pada awalnya bermula sedikit pincang.

If Ever I Would Leave You dan Somewhere Over The Rainbow merupakan dua buah lagu yang penulis nanti-nantikan daripada awal persembahan mereka. Jujur, Il Divo membawa setahap ke depan bersama kehebatan vokal dan harmoni yang dinamik sepanjang dua buah lagu itu.

Malah, Il Divo membikin sedikit kejutan dengan menyanyikan kembali lagu hit mendiang Whitney Houston, I Will Always Love You dalam versi bahasa Sepanyol sempena memperingati keunggulan penyanyi pujaan ramai itu.

Tiga buah lagu berikutnya, Don’t Cry For Me Argentina (Evita, 1978) dan Pour Que Tu M’aimes Encore (lagu duet bersama Celine Dion) dan Somewhere (West Side Story, 1956) telah membawa audiens larut dalam buaian muzik orkestra yang diiringi cemerlang oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan milik negara kita tercinta.

Berselang-seli setiap tiga buah lagu, keempat-empat jejaka itu diberikan peluang untuk berinteraksi dengan peminat. Antara butir bicara yang dikongsikan adalah perjalanan dan pengaruh muzik daripada pentas Broadway dalam kehidupan serta persekitaran mereka.

Kata David, kerjayanya sebelum bersama Il Divo sememangnya sebagai seorang penyanyi untuk pementasan muzikal di Amerika Syarikat tidak jauh bezanya dengan dunia Broadway.

“Saya dahulunya seorang pemalu dan sangat sukar untuk berdiri di hadapan orang ramai sehingga pada suatu hari guru kelab koir di sekolah memberikan galakan untuk saya mencuba ujibakat sebuah pementasan teater muzikal.

“Katanya saya ada suara yang mantap! Kemudiannya, pada ujibakat itu saya menyanyikan lagu If I Ever Would Leave You dan sepanjang dua kali ujibakat, dua kali juga saya tersalah lirik yang sama,” katanya.

ALBUM studio keenam Il Divo mengetengahkan lagu yang dipetik daripada pementasan popular Broadway.

Sementara itu, kongsi anggota kumpulan Il Divo yang pernah menjadi penyanyi pop dari Perancis, Sebastien, hidupnya berubah setelah menyaksikan sebuah teater muzikal yang ditayangkan di televisyen suatu ketika dulu.

“West Side Story telah mengubah orientasi saya dalam muzik. Dahulu saya pencinta irama pop tapi selepas mendengar lagu daripada pementasan teater muzikal itu ketika di Perancis, saya bayangkan diri saya berada dalam notasi lagu-lagu Broadway.

“Sampaikan terbawa-bawa dalam mimpi dan bilik mandi. Muziknya sangat indah, karakter, vokal dan penyanyi yang terbabit dalam genre itu ada kredibiliti tersendiri dan saya cuba meletakkan diri saya di tempat itu,” katanya yang meminati lagu Somewhere.

Repertoir

Sementara itu, ujar penyanyi bersuara tenor yang berasal dari Switzerland, Urs, teater muzikal Broadway bukanlah satu pilihan untuk dijadikan repertoir dalam kariernya. Bahkan, genre muziknya pada asal lebih berkiblatkan heavy metal.

“Kalau di radio saya hanya mendengar muzik heavy metal tapi apabila berlatih opera klasik di sebuah auditorium, saya mendapati muzik Broadway sebenarnya berada di tengah-tengah antara dua genre itu.

“Ia melucukan kerana muzik Broadway tidak pernah berada dalam radar saya dan peluang untuk meneroka muzik ini membuatkan saya menjadikan lagu-lagu sekitar era 1950-an dan 1960-an sebagai repertoir baharu saya sekarang. Melodinya indah, liriknya berinspirasi dan susunan orkestranya kaya dengan pelbagai rasa,” jelasnya.

Bagi Carlos pula, vokal bariton yang dimilikinya sering menjadikan dirinya sasaran setiap kali sambutan Hari Natal. Malah, keluarganya akan memanggilnya untuk mengadakan ‘konsert mini’ setiap kali berkumpul.

“Muzik bagi saya seperti kehidupan dan ia adalah satu keghairahan. Biasanya kawan-kawan akan mengaitkan saya dengan muzik dan makanan.

“Ya, saya akui saya tidak boleh hidup tanpa muzik dan makanan, oleh kerana itu saya cuba melarikan diri setiap kali disuruh menyanyi di hadapan saudara-mara terutama Hari Natal,” ceritanya selamba.

Tambahnya, dia mula menyanyi di pentas professional pada usia tujuh tahun lagi dan dia mengakui muzik Broadway antara genre paling susah yang pernah dinyanyikannya sepanjang hayat dalam dunia seni suara.

Il Divo terus menghiburkan penonton pada malam itu. Antara rangkaian lagu yang semakin didengar semakin memukau semua deria dan perasaan adalah Winner Takes It All (Mamma Mia!, 2008), Bring Him Home (Les Miserables, 1985), Love Changes Everything (Aspects of Love, 1989), Who Can I Turn To, (The Roar of the Greasepaint The Smell of the Crowd, 1964).

Menutup rapi tirai persembahan mereka kali ini, Il Divo sempat mendendangkan lagu-lagu seperti The Impossible Dream (Man of La Mancha, 1965), You Will Never Walk Alone (Carousel, 1945), My Way (nyanyian asal Frank Sinatra, 1969) dan Time To Say Good Bye (Sarah Brightman, 1996).

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");