Berita Hari Ini

Ada sebab mengapa sumber air berkurangan

indah water

KUALA LUMPUR – Pengurusan sumber air negara perlu dilaksanakan secara bersepadu dan holistik bagi memastikan wujud keseimbangan antara bekalan sumber air sedia ada dengan permintaan yang sentiasa meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Datuk Abdul Kadir Mohd Din berkata kurangnya kapasiti pengurusan air bersepadu serta pengurusan sumber air tidak mampan boleh menjejaskan simpanan air dan mengganggu permintaannya terutama apabila musim kemarau melanda negara.

“Kalau kita dapat sepadukan pengurusan air di negara kita, sudah pasti sumber air kita tidak akan berkurangan walaupun dalam keadaan kemarau.

“Simpanan (air) kita banyak tetapi tanpa penugurusan bersepadu kita tidak boleh guna pakainya…pengurusan itu perlu agar air yang diturunkan dari langit itu tak terus disalurkan terus ke laut kerana kalau kita nak rawat air masin kosnya amat tinggi,” katanya dalam program temu bual Ruang Bicara BernamaTV dikendalikan Dahlan Maamor bertajuk “Pengurusan Integrasi Sumber Air Negara siri-2” malam tadi.

Turut menjadi panel adalah Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (Nahrim) Datuk Ahmad Jamalluddin Shaaban.

Beliau berkata pengurusan air secara sektorial menyebabkan tiadanya koordinasi yang akhirnya fungsi, peranan dan tanggungjawab sesuatu pihak dalam memastikan kelestarian sumber air menjadi kurang jelas.

“Ini menyebabkan pelbagai masalah lain boleh timbul termasuklah masalah pencemaran, masalah bekalan air, banjir, hakisan dan pemendapan,” katanya.

Abdul Kadir menjelaskan pengurusan sumber air secara bersepadu perlu mengambil kira pelbagai komponen termasuklah perundangan, penguatkuasaan, kesedaran awam, pencegahan, pemulihan, kewangan dan institusi yang berperanan mengikut kawasan tadahan sungai.

Sementara itu, Ahmad Jamalluddin berkata Nahrim berperanan menjalankan penyelidikan dalam perkhidmatan reka bentuk, pembinaan dan pelaksanaan kerja kejuruteraan yang berkaitan dengan pembangunan sumber air secara khusus.

“Bagi kelestarian penggunaan sumber air negara untuk tempoh jangka panjang, Nahrim berperanan menjalankan penyelidikan asas dan gunaan dalam sektor air seperti sumber air, sungai, pantai, hidrologi dan kualiti air,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");