Membawang Hari Ini

Anggota Big Bang memang ‘tip-top’

BING BANG

Dua tahun lalu, konsert kumpulan paling berpengaruh Korea Selatan, Big Bang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur berlangsung dalam hujan.

Malam kelmarin, tiga anggota kumpulan berkenaan iaitu G-Dragon, Taeyang dan Seungri yang hadir sempena program khas bersama peminat mereka iaitu G-Dragon Taeyang Seungri Thinking of You di Surfbeach, Sunway Lagoon, Petaling Jaya turut berlangsung dalam hujan.

Kedatangan mereka sememangnya sudah dinantikan sejak pengumuman mengenai acara itu dibuat tidak lama dulu. Malah, timbul ura-ura membawa tiga nama kuat itu bakal berakhir kekecewaan.

Bagaimanapun, ternyata penganjur IME Productions akhirnya berjaya membawa Big Bang. Walaupun tanpa dua lagi anggota iaitu T.O.P dan Daesung, tetapi ia sudah cukup kuat untuk menarik ramai penonton.

Dihadiri lebih 3,000 penonton, tiga penyanyi terbabit sememangnya memiliki aura hebat masing-masing biarpun jelas G-Dragon lebih digilai.

Kehebatan mereka menakluk pentas dalam setiap persembahan memang tidak boleh dipertikaikan.

Dari persembahan hingga kepada penataan gaya, mereka cukup lengkap dan tidak hairanlah sering dilabelkan sebagai artis berkelas tinggi.

Seiring dengan jolokan itu, begitulah juga yang ditampilkan mereka di pentas dengan persembahan ‘tip-top’!

Sebaik G-Dragon muncul di pentas malam kelmarin, dalam masa yang sama hujan mula turun. Dia yang juga ketua kumpulan Big Bang akhirnya mengambil keputusan untuk ‘mandi hujan’ saja!

Melihat kelekaan penyanyi itu tidak menghiraukan hujan, penonton turut sama tidak mempedulikan hujan dan terus menari bersamanya.

Dalam persembahan itu, tiga peminat bertuah diberi peluang bertemu lebih dekat dengan tiga idola mereka itu.

Pemilihan tiga gadis berkenaan dibuat menerusi cabutan bertuah dan jelas peminat lain yang hadir pastinya ternanti-nanti nombor tiket mereka disebut.

Lebih dinanti untuk tampil membuat persembahan, sesi bersama peminat cuma berlangsung sekali saja di mana permainan yang dijalankan adalah membuat ‘make over’.

Sejurus selepas itu, Taeyang membuka tirai persembahan di mana seperti biasa bukan saja tariannya yang cukup menggoda, malah malam itu dia membuktikan nyanyian secara langsungnya memang cukup hebat.

Diiringi penari, dia tahu bagaimana untuk tidak nampak tenggelam dan terus-menerus mengikat perhatian penonton dengan lenggok tarinya.

Kegilaan paling memuncak tatkala penyanyi itu mendendangkan lagu barunya Ringa Linga selain sebelum itu menyanyikan Superstar, I Need A Girl dan Only Look At Me.

Malang buat Seungri pula, kebanyakan lagunya terpaksa dinyanyikan secara ‘miming’ kerana penyanyi terbabit ‘kehilangan suara’.

Dia sendiri tidak banyak bercakap sewaktu sesi permainan bersama peminat namun tetap melunaskan persembahannya dengan baik menerusi lagu medley Let’s Talk About Love dan Gonna Talk To You diikuti Strong Baby (Remix), GGBE dan What Can I Do.

Apapun, jeritan lantas bergema apabila G-Dragon pula mengambil-alih pentas dengan lagu pertamanya One Of A Kind yang sememangnya masih digilai sehingga sekarang walaupun lagu terbabit sudah lama.

Mengikuti kehebatan penyanyi itu di atas pentas, kali ini barulah dapat dilihat aksinya 100 peratus. Pernah tampil bertongkat pada persembahan sebelum ini akibat kecederaan, apa lagi boleh dikatakan mengenai G-Dragon, dia memang ‘raja’ di atas pentas.

Sempat mengajak penonton bersama melaungkan ‘trademark’ lagunya Crayon iaitu ‘swag, check, swag, check’, lagu berkenaan antara yang turut menaikkan keghairahan peminat untuk menari bersama.

Turut didendangkan termasuk lagu Go dan Crooked.

Kemuncak konsert itu, mereka bertiga kemudian tampil bersama menyanyikan rangkaian lagu hit Big Bang.

Sedikit mengecewakan apabila lagu terbaik mereka seperti Monster tidak dinyanyikan, bagaimanapun penonton nyata berpuas-hati melihat aksi bertenaga mereka menerusi Let’s Talk About Love, Bad Boy dan akhir sekali Fantastic Baby.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");