Isu Panas

Anwar: Siapa zalimi siapa?

anwar
KUALA LUMPUR 20 Mac – Pembangkang dicabar menjawab tujuh fakta berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum membuat tuduhan kononnya Barisan Nasional (BN) menzalimi Ketua Pembangkang itu selepas beliau dijatuhkan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat.

Bekas peguam Anwar, Datuk Zulkifli Nordin berkata, Anwar telah melantik Karpal Singh bersama anak-anaknya untuk membela beliau dalam kes liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan sedangkan pemimpin DAP itu pernah memberitahu Dewan Rakyat pada 1997 bahawa dia mempunyai bukti Anwar adalah seorang peliwat.

Katanya, dalam hal itu, tidakkah Anwar menzalimi diri sendiri apabila melantik Karpal sebagai peguamnya walaupun orang yang sama pernah menuduh dia meliwat.

“Anwar telah mengemukakan pembelaan alibi (mendakwa dia tiada di tempat kejadian) untuk menghadapi kes meliwat Mohd. Saiful dan telah diberi peluang oleh mahkamah untuk memberi keterangan bagi membuktikan dakwaan itu tetapi dia enggan berbuat demikian.

“Dengan keengganan memberi keterangan, Anwar telah menafikan peluang untuk membuktikan kebenaran, adakah Karpal yang menasihatkan Anwar supaya jangan memberi keterangan. Ini bukti jelas Anwar telah menzalimi diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, Anwar juga gagal mengemukakan tiga saksi dalam pembuktian pembelaan alibi itu namun mereka tidak datang ke mahkamah untuk memberi keterangan.

Selain itu katanya, pembangkang juga dicabar menjawab penangguhan kes Anwar melebihi 60 kali selepas Mohd. Saiful membuat laporan polis pada 2008 dan dia hanya disabitkan kesalahan selepas enam tahun.

Beliau turut mempersoalkan kenapa Anwar tidak menyaman Majlis Peguam kerana badan itu tidak menafikan kejadian liwat tersebut sebaliknya hanya mempertikaikan kenapa Mohd. Saiful tidak dituduh bersama Anwar atas dasar suka sama suka.

“Kes ini mencatat rekod penangguhan paling banyak dalam satu-satu perbicaraan iaitu melebihi 60 kali dan kebanyakannya atas permintaan Anwar, adakah ini satu kezaliman.

“Selama perbicaraan berlangsung sejak 2008, Anwar bebas atas jaminan dan masih bebas ke mana sahaja walaupun dijatuhkan hukuman lima tahun penjara sehingga rayuan di Mahkamah Persekutuan selesai, apakah ini juga kezaliman terhadap Anwar,” soalnya.

Zulkifli seterusnya berkata, Anwar diberi peluang untuk membersihkan namanya melalui sumpah, namun sehingga hari ini gagal dan enggan berbuat demikian walaupun tindakan itu merupakan peluang terbaik untuk dia menyerahkan sepenuhnya kepada Allah agar diberi petunjuk kebenaran dakwaan Saiful.

“Oleh itu, saya mencabar Anwar dan pembangkang menjawab fakta-fakta di atas atau mengakui Anwar sebenarnya telah menzalimi diri sendiri malah dia juga menzalimi umat Islam dan rakyat negara ini dengan mengheret mereka untuk menyelesaikan masalah peribadi antara dia dengan pembantunya sendiri,” katanya.

– UTUSAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");