Berita Hari Ini

Asia Aerospace City dibangunkan di Subang

aerospace

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membangunkan Asia Aeroangkasa City (AAC) di Subang di bawah konsep Edubizpark yang memberi tumpuan kepada perniagaan perkhidmatan kejuruteraan aeroangkasa dengan anggaran nilai RM1 trilion pada 2020.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Edubizpark adalah taman pendidikan dan perniagaan berasaskan konsep Mara untuk menyediakan platform interaksi yang lancar antara institusi akademik dan peserta industri, sebahagian daripada strategi Mara untuk menyediakan modal insan yang bersedia untuk industri.

AAC direka sebagai sebuah bandar raya pintar yang terdiri daripada pelbagai kemudahan bersepadu seperti pejabat, kemudahan penyelidikan dan pembangunan canggih, kampus akademik, pusat konvensyen dan ruang kediaman.

“Projek ini boleh mengambil peluang dalam industri aeroangkasa antarabangsa memandangkan Airbus melancarkan program ‘Power 8’ untuk mengukuhkan rantaian bekalan di seluruh dunia,” kata beliau pada majlis perasmian Menara MARA sempena ulangtahun ke48 Mara, malam ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak merasmikan Menara Mara itu yang terletak di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini.

Mohd Shafie berkata dianggarkan 40 peratus daripada jualan pesawat penumpang adalah di Asia menjelang 2020 dan European Aerospace Defence and Space (EADS) merancang untuk melabur sehingga US$250 juta di Malaysia pada tahun 2020.

Beliau berkata industri ini akan menjana 10,000 jawatan kejuruteraan bernilai RM1.5 bilion bagi perkhidmatan kejuruteraan, tidak termasuk penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih serta lain-lain.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Mohd Shafie menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pelaburan Mara Bhd dan Atkins Global (Atkins) untuk pembangunan AAC di Subang.

Atkins yang berpangkalan di United Kingdom, merupakan antara perunding pengurusan projek, kejuruteraan dan reka bentuk terkemuka dunia, dan sebagai perunding dan perancang utama, akan membantu menjalankan reka bentuk dan perancangan berhubung pembangunan strategik pusat aeroangkasa berkenaan.

Pelaburan Mara akan berperanan penting sebagai pemaju induk untuk AAC, yang akan menjadi pusat aeroangkasa utama dan dijangka dapat menjadi edubizpark perdana bagi perkhidmatan kejuruteraan berkaitan dengan industri aeroangkasa.

AAC akan dibina dalam beberapa prinsip reka bentuk utama menggabungkan pemikiran terkini dalam perancangan dan teknologi hijau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Nazim Rahman berkata kerjasama ini akan menjadi pemangkin ke arah merealisasikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa terkemuka di rantau ini.

“Visi kami adalah lebih daripada sekadar projek pembangunan edu-biz kerana ia adalah untuk mewujudkan kemudahan bertaraf dunia bagi organisasi global dalam perkhidmatan kejuruteraan terutamanya dalam industri aeroangkasa.

“AAC akan menjadi tempat di mana kita memenuhi permintaan industri bagi tenaga kerja berkemahiran,” kata Nazim.

Ketua Pegawai Eksekutif Atkins Asia Pasifik Chris Birdsong berkata selaras dengan Program Transformasi Ekonomi Malaysia yang berhasrat membawa negara mencapai negara maju pada 2020, pendidikan mempunyai peranan penting untuk mencapai wawasan berkenaan.

“Kami amat berbangga untuk menyumbang kepada wawasan ini yang akan terus memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Saya berasa amat gembira untuk bekerja dengan Pelaburan Mara bagi projek ini yang menggabungkan kepakaran antarabangsa kami dengan wawasan Mara serta mendalam pengetahuan tempatan yang akan membantu kedua-dua pihak membuka lebih banyak peluang dalam pasaran pada masa akan datang,” kata Birdsong.

Sementara itu, mengenai perniagaan Mara, Mohd Shafie berkata pada 2013, anak syarikat milik penuh Mara mencatatkan hasil sebanyak RM1.05 bilion.

Pelaburan Mara ditubuhkan pada 24 Jun,1967 sebagai cabang pelaburan Mara dan pada dasarnya bergiat dalam aktiviti pelaburan dan dana pengurusan. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");