Membawang Hari Ini

Aura Jamal Abdillah

jamal abdilah

LAMBAKAN penyanyi-penyanyi baharu, ternyata tidak dapat menenggelamkan aura penyanyi Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah.

Buktinya, Jamal bakal mengadakan tiga konsert dalam jangka masa yang agak dekat meliputi Konsert Eksklusif Datuk Jamal Abdillah di Hotel Zenith, Kuantan, Pahang pada 11 April diikuti ‘The Moments With Datuk Jamal Abdillah’ sempena minggu setiausaha pada 24 April 2014 di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya.

Selain itu, Jamal akan turut bergandingan dengan Nas Adila dalam majlis makan malam Raikan Hari Ibu bersama Datuk Jamal Abdillah pada 11 Mei depan.

Sementara itu, menyentuh mengenai konsert yang akan diadakan di Kuantan, Pahang bulan hadapan, Jamal berkata, beliau dilamar Budak Zapin Production untuk mengadakan konsert eksklusif di Kuantan, selepas kejayaan konsert Jamal Abdillah VS Saleem di Hotel Permai, Kuala Terengganu, tahun lalu.

“Pihak Budak Zapin Production turut hadir ke konsert berkenaan dan melihat sambutan, maka tercetuslah idea mereka untuk mengadakan konsert sebegitu di Kuantan, Pahang.

“Bukan sahaja menyanyi, tetapi produksi saya iaitu Binjamal akan terlibat dengan pembikinan konsert ini, di mana ia meliputi pemuzik dan hal-hal teknikal lain,” katanya yang ditemui baru-baru ini

Tidak hanya menampilkan Jamal semata, konsert yang diadakan secara tertutup ini turut menampilkan Datuk Ramli Sarip, Elly Mazlein dan penyanyi veteran, Elias Shah.

Pengarah Urusan Budak Zapin Production, Mohd Arifin Ikhsan berkata, sambutan hangat yang diterima semasa konsert di Kuala Terengganu tahun lalu, memberi keyakinan buatnya untuk menganjurkan konsert yang melibatkan Jamal di Pahang.

“Saya lihat sambutan yang menggalakkan daripada penonton di Terengganu dan saya percaya jika diteruskan di Pahang pula, konsert ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Cuma bezanya sebelum ini melibatkan penyanyi Saleem dan Nas Adilla. Tapi kali ini saya Datuk Ramli, dan Elly bersama saudara Elias,” katanya yang ditemui semasa
sidang media baru-baru ini.

Arifin berkata, konsert di Kuantan ini hanya terhad kepada 2,500 tetamu sahaja dan tiket-tiket yang berharga RM80, RM150 dan RM250 boleh didapati dengan menghubungi 095659595 (Zenith Hotel).

KEKERAPAN Jamal Abdillah mengadakan konsert di sekitar Kuala Lumpur menyebabkan ada sesetengah peminat berasa hampa kerana sukar menemui pelantun Kekasih Awal dan Akhir ini dengan lebih dekat.

Menyedari situasi tersebut, Jamal akhirnya bersetuju untuk memberi tumpuan kepada konsert di Pantai Timur selepas konsertnya bersama Saleem di Terengganu tahun lalu mendapat sambutan hangat.

Ujar Jamal, selepas selesai dengan konsert di Kuantan, pada 11 April depan, beliau bersama Budak Zapin Production turut bercadang untuk mengadakan konsert sekali lagi di Terengganu dan diikuti di Kelantan.

“Saya sendiri sudah lama tidak berjumpa dan mendekati peminat di pantai timur, maka saya bersetuju untuk turut serta dalam konsert ini.

“Konsert ini akan diadakan kira-kira dua jam dan saya akan menyampaikan kira 14 seleksi buah lagu meliputi lagu-lagu hit saya. Selain itu, saya juga akan berduet bersama Ramli dan Elly, serta mereka juga akan menyampaikan beberapa buah lagu secara solo,” katanya.

Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, berkata, bukan sahaja memberi fokus pada peminat di Pantai Timur, beliau juga turut berhasrat  mengadakan konsert di Sabah dan Sarawak suatu hari nanti.

Katanya, biarpun beliau kini dilihat jarang terlibat dengan program hiburan, namun sebenarnya  beliau kini lebih gemar bergerak sendiri.

“Perancangan untuk ke Sabah dan Sarawak itu memang ada, apatah lagi kini saya lebih selesa bergerak sendiri dan agak memilih tawaran konsert daripada pihak lain.

“Saya ada produksi sendiri meliputi pemuzik, team pencahayaan, bunyi. Jadi bila ada produksi sendiri, bila ada perancangan membuat konsert, saya rasa lebih puas hati kerana dapat membuat konsert mengikut apa yang saya impikan.

“Keputusan saya untuk memilih tawaran dan juga persembahan adalah demi menjaga kerjaya saya pada masa akan datang. Memang saya tidak mahu terlalu menonjol dan mudah dilihat,” katanya.

Kagumi bakat baharu

Berkongsi perkembangan dirinya, Jamal berkata, beliau sebenarnya ada merancang untuk membuat album baharu iaitu Jamal 2014, namun perancangan itu terpaksa ditangguh ekoran kesibukannya.

Justeru, beliau kini berhasrat mengeluarkan single terbaharu yang juga kolaborasi bersama seorang artis baharu.

“Saya tak tahu siapa lagi artis berkenaan kerana ia masih lagi dalam perancangan. Apa yang penting dia adalah artis muda dan saya berhasrat untuk membawakan lagu yang sesuai dengan mood pendengar sekarang.

“Selain itu, saya juga berhasrat mencari penerbit muda kerana saya mahukan idea yang lebih segar. Bukan bermaksud tidak menghargai penerbit lama, tetapi saya mahu cuba sesuatu yang baharu.

“Saya mahu pikat anak-anak muda pula, jadi sebab itu saya mahu penerbit muda kerana mereka pasti tahu bagaimana untuk memikat pendengar sekarang,” katanya yang masih mencari penerbit yang bersesuaian.

Ditebak mengapakah beliau memilih untuk bekerjasama dengan artis baharu, Jamal berkata, beliau melihat banyak penyanyi muda yang mempunyai bakat besar dalam dunia nyanyian kini.

“Tidak dapat dinafikan, pengaruh muzik Indonesia masih besar di kalangan pendengar di Malaysia. Tapi dalam masa yang sama, kita lihat bagaimana pengaruh penyanyi muda seperti Hafiz yang cukup menyerlah dengan lagu-lagu yang puitis,” jelasnya.

Impi kembali berlakon

Dalam kesibukannya mengadakan konsert serta memenuhi undangan persembahan, namun dalam diam, Jamal sebenarnya menyimpan keinginan untuk kembali berlakon seperti dulu.

Cuma katanya, tiada tawaran yang diterima setakat ini membuatkan beliau memberi fokus terhadap karier nyanyiannya.

“Saya memang teringin untuk kembali berlakon tetapi tidaklah mengharapkan kepada watak hero atau watak utama. Macam Eman Manan, walaupun jarang berlakon, tapi bila berlakon meskipun hanya dengan watak kecil, impaknya tetap besar.
“Jika ada tawaran dengan skrip dan watak yang menarik, Insya-ALLAH saya tidak menolak untuk menerimanya,” katanya yang kini sibuk dengan persiapan konsertnya itu.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");