Membawang Hari Ini

Bakat hebat Bintang Idola BH

bintang idola bh

Juri terkesima lihat persembahan peserta peringkat separuh akhir BIBH

Pusingan separuh akhir Bintang Idola BH (BIBH) 2014 yang diadakan sempena penganjuran Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013 di Balai Berita, Bangsar, Jumaat lalu, berjaya menonjolkan ramai bakat baru yang mampu diketengahkan sebagai bintang pelapis dunia seni muzik tanah air.

Berbeza dengan tiga edisi pertama BIBH sebelum ini, sejak tahun lalu pertandingan itu menggunakan platform YouTube sebagai medan uji bakat mencari bakat baharu dalam bidang nyanyian.

Tahun ini pula, kira-kira 300 penyertaan awal diterima dengan 20 daripadanya dipilih menyertai peringkat separuh akhir. Daripada jumlah itu pula, 10 peserta, solo atau berkumpulan, melayakkan diri ke peringkat akhir yang bakal diadakan penghujung bulan ini.

Bakat yang terpilih pada peringkat berkenaan pula rata-rata menampilkan kualiti persembahan yang baik, malah sebahagiannya mampu menonjolkan nyanyian terpuji, sehinggakan juri bertugas, Loque, mengaku terkesima dengan apa yang dilihatnya hari itu.

Apatah lagi bukan sedikit peserta yang berani memperdengarkan lagu ciptaan sendiri pada pertandingan kali ini, menjadikan BIBH 2014 antara musim paling kompetitif sejak ia diperkenalkan lima tahun lalu.

Kena ada keaslian
Begitupun, peluang terbabit turut diambil Loque untuk memberikan sedikit petua buat peserta bagi membolehkan mereka memantapkan lagi persembahan pada masa akan datang.

Kata penyanyi dan komposer terkemuka daripada kumpulan Monoloque ini, peserta pertandingan tidak perlu meniru gaya asal penyanyi sesebuah lagu. Baginya, mereka yang menampilkan keaslian dalam persembahan mempunyai peluang cerah untuk maju ke depan, di samping tidak melupakan karakter ataupun gaya mereka tersendiri ketika menyanyi.

“Menerusi pengamatan saya sepanjang meneliti persembahan mereka, ternyata masing-masing punya kelainan yang tiada pada penyanyi lain.

“Dari sudut vokal, ada yang lebih segar, malah menampilkan suara yang padu ketika membuat persembahan. Ia memberikan keyakinan, serta memikat hati juri bagi memilih mereka masuk ke peringkat akhir.

“Sungguhpun begitu, masih banyak yang perlu diasah dan digilap. Pada masa sama, mereka berpotensi, malah mampu untuk melangkah lebih jauh lagi. Apabila sudah mempunyai sedikit pengalaman dan memperbaiki mana-mana sudut yang perlu, peserta ini boleh sama-sama memeriahkan industri hiburan tanah air suatu hari nanti,” katanya selepas pertandingan berakhir.

Selain Loque, peringkat separuh akhir turut diadili Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2013, Shamshul Azree Samshir; dan Pengarang Berita BH (Edisi Mingguan), Zainuri Misfar.

Acara petang itu dikendalikan oleh personaliti radio dan TV, Nanie Ibrahim, yang nyata menambahkan lagi kemeriahan suasana dengan jenaka bersahaja.

Perlu bijak pilih lagu

Pertama kali menjadi juri BIBH, Loque turut berpesan, peserta yang mahu menyertai mana-mana pertandingan nyanyian perlu bijak memilih lagu.

“Lagu yang tidak sesuai dan serasi dengan nada suara atau keupayaan seseorang peserta boleh membawa padah kepada diri sendiri. Apatah lagi jika pilihan dibuat mengikut minat sendiri, dan berpandukan trend lagu semasa sedangkan mereka tidak mampu menyampaikannya dengan baik,” katanya.

Petang itu, sepuluh peserta diumumkan layak ke peringkat akhir, terdiri daripada Nurul Faraheeda Zulkifli, Azlina Mazli, Nur Ulfa Ghazali, Hafizul Muhd Wazir, Muhd Amirul Syakir Muhd Shahir, Muhd Nazri Muhd Yunus dan Mohd Syafiq Ifwan Ghazali.

Tidak ketinggalan melangkah ke final ialah peserta berkumpulan, iaitu Shamimi Fatin Yusuf yang diiringi dua pemuzik; kumpulan Berdua (Fairuz Selamat dan Kirana) dan kumpulan acapella, Take 5, dari Melaka.

Pertandingan kali ini menyaksikan peserta dinilai dari segi vokal yang mewakili 50 peratus markah, persembahan (30 peratus) dan ketrampilan diri (20 peratus).

BIBH sebelum ini melahirkan beberapa bakat yang mula mendapat perhatian seperti Noor Nazaratul Farahin, yang juga protoge Fauziah Ahmad Daud dalam program Mentor; Baby Shima (artis Adam AF yang popular dengan lagu Tak Sabar); Azhar (menyertai Akademi Fantasia menerusi kumpulan duo Azhael) dan kumpulan Tiga.

Juara pertandingan BIBH 2014 bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan membawa pulang RM2,00 serta RM1,000.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");