Sukan Hari Ini

BAM akur pendirian Misbun

datuk misbun sidek

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan meneruskan usaha mendapatkan semula khidmat Datuk Misbun Sidek yang menolak tawaran badan induk itu untuk dilantik sebagai Pengarah Keupayaan dan Kemahiran.

Presidennya, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff sebaliknya, berkata badan induk itu akan meneruskan program yang dirancang mengikut ‘pelan B’ dengan perubahan membabitkan struktur Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan (CSR).

“Misbun sudah menjawab surat tawaran yang diberikan, semalam (kelmarin) dan menyatakan yang beliau tidak boleh menerima tawaran ini atas faktor masalah peribadi. Jadi, kami menghormati keputusannya dan akan meneruskan perancangan mengikut pelan B.

“Mengikut struktur baru, seorang jurulatih akan dilantik menjadi ketua jurulatih perseorangan dan beregu. Jurulatih akan melaporkan kepada dua individu itu dan mereka akan menghantar laporan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan di bawah CSR.

Cari calon layak

“Kami akan mencari calon layak untuk menjadi ketua jurulatih perseorangan dan beregu. Buat masa sekarang Rashid Sidek akan mengetuai acara perseorangan,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco BAM di pejabat BAM di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

BH Sukan semalam melaporkan Misbun yang juga bekas jurulatih perseorangan negara menegaskan tidak akan menerima tawaran itu dengan alasan banyak masalah peribadi yang perlu difikirkan dan tidak sanggup memikul tanggungjawab yang diberikan BAM itu.
Malah, berdasarkan jawapan di sebalik penolakan itu tampak seperti ‘luka lamanya masih berdarah lagi’ ketika beliau meletak jawatan daripada BAM pada 31 Disember 2010.

Dalam perkembangan lain, Tengku Mahaleel turut memaklumkan status bekas ketua jurulatih negara, Yap Kim Hock yang menghadiri temuduga untuk jawatan jurulatih belum diputuskan sebaliknya akan terus membuat penilaian berhubung perkara berkenaan.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");