Jenayah

Dipenjara 24 tahun cuba bakar anak kekasih

jenayah

Kuala Lumpur: Seorang mekanik kedai basikal dihukum penjara 24 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam kerana cubaan membunuh dua anak bekas teman wanitanya, Januari lalu.

Tertuduh, Mohd Afizi Abdul Rahman, 27, dikenakan hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada mengaku bersalah terhadap dua dakwaan berasingan di hadapan Hakim Ahmad Bache.

Mohd Afizi dituduh cuba membunuh Nur Airis Qaliesha Mohd Shahril dan Nur Dia Syazana, masing-masing berusia satu tahun lima bulan dan dua bulan, dengan membakar mangsa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak Jaya, antara jam 1 pagi hingga 1.30 pagi, pada 21 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh yang kelihatan tenang sebaik keputusan dibacakan, hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas mahkamah memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 22 Januari lalu.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, ibu bekas teman wanitanya melihat tertuduh bergegas keluar dari bilik anaknya dan mendapati ia sedang terbakar.

Jeriji berkunci
Mangsa kemudian meminta menyelamatkan kedua kanak-kanak itu, namun gagal kerana jeriji pintu berkunci. Bagaimanapun, selepas beberapa cubaan, ketiga-tiga mereka berjaya melepaskan diri melalui tingkap rumah.

Akibat kejadian itu, Nur Airis cedera hampir 50 peratus pada badannya, manakala Nur Dia Syazana tidak cedera.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff, manakala peguam Kooi Wie Kit, mewakili tertuduh.

Pada 18 Februari lalu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan membunuh teman wanitanya itu, Saliza Saidin, 29. yang juga seorang janda mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");