Membawang Hari Ini

Dira sering buat kejutan

dira

Kehadirannya dalam bidang lakonan bukan untuk mengejar populariti semata-mata, tetapi kerana minat yang mendalam membuatkan Dira Abu Zahar mampu bertahan.

Meskipun pernah terpalit kontroversi mengenai dakwaan pergaduhannya dengan seorang wanita di sebuah kelab di ibu kota, pemilik nama sebenar Khaidhirah Abu Zahar, 30, ini sedikit pun tidak terkesan di hatinya.

Tujuannya hanya satu iaitu mahu melihat sejauh mana bakatnya boleh pergi dalam bidang yang menjadi minat keduanya selepas guaman.

Dira mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Merlimau, Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Infant Jesus Convent, Melaka sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang guaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pada peringkat awal pengajian dalam bidang guaman yang menjadi pilihannya sejak bersekolah itu, Dira tidak terfikir akan terbabit secara serius dalam bidang seni.

Namun, selepas menamatkan pengajian, Dira nekad untuk terus berada dalam bidang seni dan melupakan hasrat menjadi seorang peguam.

Jejak Bintang kali ini menyelongkar kisah Dira ketika kecil bersama ibunya, Datin Seri Khalijah Mohd Jiddi, 67, yang sudi berkongsi perihal anak bongsunya ini yang mula popular menerusi drama Rona Roni Makaroni.

Dira adalah anak bongsu daripada enam beradik di mana dia mempunyai empat kakak dan seorang abang. Dira juga amat rapat dengan bapanya, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang juga bekas Ketua Menteri Melaka.

Khalijah ketika ditemui berkata, walaupun anak bongsu ia bukan alasan untuk Dira boleh meminta apa saja dan berkelakuan seperti kanak-kanak.

“Sejak kecil dia dan adik-beradik lain dilatih menjadi seorang yang berdikari oleh arwah suami. Mungkin sifat kepimpinan yang ada pada arwah menyebabkan ia terbawa-bawa kepada anak-anak.

“Tiada istilah jika menjadi anak bongsu boleh berbuat sesuka hati tanpa memikirkan perasaan ibu bapa dan keluarga. Saya bersyukur sejak kecil Dira mudah dijaga dia tidak pernah membuat masalah kepada keluarga,” katanya.

Menurut Khalijah, Dira juga seorang yang ringan tulang dan suka membantu sesiapa saja.

“Jika dibawa ke majlis kenduri saudara mara, dialah yang paling sibuk mengalahkan tuan rumah. Sikap ramah dan pandai membawa diri serta suka bercampur gaul menyebabkan dia disenangi semua. Namun begitu, Dira seorang yang tegas dan kadang kala panas baran.

“Setiap apa yang dia lakukan tidak pernah sia-sia. Dia bukan jenis seorang yang suka buang masa. Padanya, apa saja yang dilakukan selagi menjadi minat akan diusahakan sehingga berjaya dan membuahkan hasil,” katanya.

Menurutnya, ketika belajar di UiTM Dira menguruskan segala keperluan tanpa mengharapkan bantuan ibu bapanya. Malah, dia tidak pernah menghubungi ahli keluarga bercerita mengenai masalah dihadapi.

“Saya dan arwah suami yakin dengannya. Dia mampu menguruskan segala-galanya dan seorang yang sangat berdikari. Kami hanya memberikan dia wang dan tempat tinggal. Selebihnya terpulang pada dia untuk mengatasinya,” katanya.

Ketika menuntut di UiTM, dalam diam-diam Dira melakukan pelbagai kerja sampingan tanpa pengetahuan keluarganya termasuk menjadi pengacara program terbitan Astro berjudul Fulus Mania.

Khalijah berkata, dia dan arwah suaminya yang ketika itu sedang menonton TV terkejut apabila melihat Dira sedang mengacarakan program berkenaan.

“Saya memang terkejut dan seperti tak percaya. Saya memang tahu dia seorang yang suka bercakap dan riuh ketika di rumah, tetapi tidak sangka pula sikap itu berani ditunjukkan di hadapan khalayak.

“Arwah suami juga seperti tidak percaya. Namun kami tidak kecewa kerana setiap apa yang dia lakukan semuanya memuaskan hati kami,” katanya.

Mengulas mengenai bagaimana Dira boleh beralih kepada bidang seni walaupun pada mulanya bercita-cita menjadi peguam, Khalijah berkata, mungkin darah seni yang ada pada sebelah keluarganya menyebabkan jiwa Dira lebih sebati dengan bidang seni.

“Saya dan suami tidak pernah menghalang minat anak-anak, tetapi kami menetapkan setiap mereka perlu meneruskan pelajaran ke peringkat lebih tinggi demi jaminan masa depan. Selepas itu terpulanglah kepada mereka untuk bekerja sebagai apa.

“Alhamdulillah anak-anak semua mendengar kata. Seperti Dira sendiri dia memilih untuk mengambil jurusan Undang-Undang dan kami menyangka dia akan menjadi peguam. Tetapi tamat saja belajar dia semakin fokus terhadap bidang seni dan mula aktif berlakon dan mengacara.

“Apabila kami tanya kenapa beralih bidang katanya, kerja seni lebih dekat dengan dirinya kerana selain mempunyai cabaran besar dia puas dengan kerja yang dilakukan berbanding peguam.

“Namun begitu saya berharap dia mampu mengatasi setiap masalah yang berlaku dalam kehidupannya sebagai anak seni. Apatah lagi dia sudah melalui perkahwinan kali kedua, saya sentiasa mendoakan yang terbaik buat Dira dan suami,” katanya.

Beli motosikal berkuasa tinggi pada usia 18

Berkat sikapnya yang mampu berdikari serta pandai mencari kerja sampingan, pada usia 18 tahun Dira sudah memiliki motosikal berkuasa tinggi hasil duit simpanannya sendiri.

Menurut Khalijah, semua itu dilakukan tanpa pengetahuan keluarga.

“Dia suka membuat kejutan pada keluarga sehinggakan pada hari dia membeli motosikalnya, kami hanya tahu apabila dia membawa motosikal itu pulang.

“Kami sangkakan ia milik kawan-kawan atau abangnya, rupa-rupanya ia milik Dira. Lama kelamaan kami sudah faham dengan kejutan yang dia lakukan. Kalau ada apa-apa yang kami tidak tahu dan kemudian baru tahu masing-masing hanya tersenyum saja kerana itulah dia perangai Dira,” katanya.

Tindakannya memilih bidang seni selepas tamat belajar juga adalah satu kejutan kerana pada waktu kecil Dira tidak menunjukkan sebarang minat dalam bidang itu.

“Setiap program televisyen yang dia sertai juga kami tidak tahu, segala-galanya kejutan yang kami dapat tahu apabila wajahnya muncul di televisyen.

“Walaupun kami sedar bidang ini mencabar, tetapi kami yakin dia mampu mengatasinya. Kerana itulah saya dan suami tidak pernah menghalang minatnya dan anak-anak lain dalam melakukan sesuatu asalkan pandai jaga diri dan nama baik keluarga,” katanya.

Berkongsi mengenai sifat Dira yang lincah dan seperti lelaki, Khalifah berkata, semua itu berlaku mungkin kerana ketika mengandungkan Dira dia mahukan anak lelaki kerana hanya memiliki seorang saja anak lelaki ketika itu.

“Anak sulung hingga nombor empat semuanya perempuan. Selepas mendapat abang Dira saya kemudian hamil anak keenam dan sangat mengharapkan ia lelaki juga, tetapi rezeki saya melahirkan anak perempuan iaitu Dira.

“Mungkin disebabkan keinginan yang begitu kuat mahu anak lelaki ketika hamil terbawa-bawa dalam diri Dira, malah abangnya yang mempunyai jarak hubungan lima tahun dengannya juga secara tidak langsung membuatkan sifat lasak itu ada pada Dira.

“Dira rapat dengan abangnya dan ke mana-mana saja mereka bagaikan belangkas dan aktiviti yang dilakukan oleh abangnya Dira akan turut serta.

“Itu yang menyebabkan sikap kelelakian Dira semakin terserlah namun dia tetap sopan ketika di rumah dan tahu melakukan kerja-kerja rumah. Kadang-kadang dia akan memasak makanan untuk seisi keluarga,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");