Jenayah

Doa ibu makbul sebaik azan berkumandang

mayatt jumpa

Bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad (dua,kanan) membacakan doa ketika melawat keluarga mangsa. – Foto Sinar Harian:-

PUNCAK ALAM – “Saya tak sangka perubahan sikap anak yang suka menyendiri dan tak banyak cakap rupa-rupanya petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” kata Sharizaton Sawal, 35, ibu kepada mangsa lemas, Mohd Ikmal Hakim Kamarul Bahrin, 13, semalam.

Sharizaton berkata, anak kedua dari empat beradik merupakan seorang yang sentiasa ceria dan suka menyakat adik-adiknya. Tetapi sikapnya yang berubah ketika berkumpul di rumah nenek saudaranya di Batu Caves pada Sabtu lalu disedari ibu saudaranya.

“Masa tu makcik-makcik dia ramai yang cakap sikap Ikmal tak macam selalu, tapi saya tak sedar sangat, sebab sibuk berkumpul. Tapi bila jadi musibah macam ni, cakap-cakap tu semua jadi teringat.

“Tak sangka jadi begini. Saya sanggup tunggu di tepi kolam tadahan ni sampai jam 4.30 pagi, lepas tu datang lagi jam 7 pagi untuk bersama misi mencari dengan saudara dan jiran yang turut datang bersama,” katanya sebak sambil memberitahu doanya kepada ALLAH supaya anaknya ditemui tidak lekang dari mulut.

Mangsa timbul ketika azan Asar

Sharizaton berkata, sebelum kejadian dia sedar mangsa keluar rumah kira-kira jam 2.30 petang seperti biasa bermain dan berbasikal dengan rakannya setiap petang.

“Masa tu hujan lebat. Ketika dentuman petir pertama, saya merintih seorang diri apabila dia masih tak balik. Nak keluar cari hujan lebat, tengah jaga adik bongsu Ikmal lagi. Saya doa dalam hati supaya Ikmal selamat. Tapi, kira-kira jam 6 petang, kawan Ikmal maklumkan yang dia terjatuh kolam tadahan tu. Dengar saja berita tu, perasaan risau hanya ALLAH tahu,” katanya sebak sambil mendakap baju anak lelakinya itu.

Pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam 3 itu, dikatakan terjatuh ke dalam kolam tadahan bersebelahan sebuah pasar raya besar, di sini ketika hujan lebat kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
Mangsa yang ketika itu berbasikal bersama seorang rakannya, Mohd Nor Fikri Emir, 13, dikatakan dalam perjalanan balik ke rumah sebelum terjatuh ke dalam kolam tadahan tersebut.

Ikhtiar mencari dan menyelamat oleh anggota bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) berakhir apabila mayat mangsa timbul di permukaan air tepat ketika azan Asar berkumandang kira-kira jam 4.30 petang dan dibawa naik ke daratan kira-kira jam 4.45 petang, semalam.

Insiden dapat perhatian ramai

Musibah pertama kali berlaku itu amat menggemparkan dan mendapat perhatian ramai untuk datang melihat misi mencari dikendalikan 30 anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Bestari Jaya, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Klang dan Shah Alam dengan bantuan dua anjing pengesan K9.

14 pasukan polis dan JPAM Daerah Kuala Selangor turut membantu misi berkenaan yang dimulakan jam 2.30 pagi sehingga ditamatkan pada jam 5 petang.

Ketua Operasi juga Ketua Zon Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan menjelaskan, pihaknya meneruskan misi mencari dan menyelamat tanpa henti sejak kelmarin meskipun hujan lebat, semalam.

“Alhamdulillah, mayat mangsa ditemui pasukan PPDA pada jam 4.30 petang berhampiran lubang saluran ke kolam tadahan kedua dan operasi dihentikan serta merta,” katanya.

Pemimpin setempat turun padang

Pemimpin setempat termasuk Adun Jeram, Datuk Amiruddin Setro; Pegawai Daerah Kuala Selangor, Suliman Abd Rahman; Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azahari Sairin; bekas Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad; Ketua Umno Bahagian Kuala Selangor, Ishak Haron; Ahli MDKS, Mohd Fakaruddin Ismail; Penghulu Mukim Ijok/Api-Api, Husain Idris; dan wakil Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Jeram dan Bukit Melawati turut hadir meninjau lokasi kejadian.

Ketua Pegawai Eksekutif Worldwide Holding Holding Bhd (Worldwide), Datin Paduka Norazlina Zakaria turut hadir meninjau memberi sumbangan berbentuk makanan.

Pihak pengurusan Tesco diwakili Pengurus Sumber Manusianya, Azahari Hassan turut memberi bantuan sebagai tanggungjawab sosial korporat bagi melancarkan misi mencari dan menyelamat itu.

Jenazah Mohd Ikmal Hakim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felda Bukit Cherakah.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");