Jenayah

Dua serpihan dicari masih belum ditemui

doa untuk mh370

Sepang: Gerakan mencari pesawat MH370 yang dilancarkan semalam selepas dua objek dikesan oleh satelit Australia di Lautan Hindi pada Khamis lalu, belum dapat merungkai misteri 13 hari kehilangan pesawat itu sejak 8 Mac lalu.

Pasukan pencari membabitkan lima pesawat dan sebuah kapal dagang Norway yang pertama tiba di lokasi, tidak menemui apa yang dikatakan dua serpihan daripada pesawat MAS yang membawa 239 penumpang dan kru itu.

Walaupun pengumuman penemuan objek oleh Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, di Parlimen negara itu dianggap sebagai petunjuk kukuh dan memberi sedikit harapan, pasukan pencari yang dikerah ke lokasi kira-kira 2,500 kilometer barat daya Perth, tidak menemui objek sepanjang 24 meter dan lima meter itu.

Operasi disambung hari ini

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya malam tadi, berkata operasi disambung hari ini kerana cuaca dikatakan tidak mengizinkan.

Empat pesawat digunakan AMSA membabitkan kawasan seluas 23,000 kilometer persegi, dibantu sebuah pesawat New Zealand. Kapal dagang Norway, Hoegh St Petersburg yang diminta membantu kerana berada berhampiran lokasi juga tidak menemui objek berkenaan.

Sebuah kapal Tentera Laut Diraja Australia, HMAS Success juga dalam perjalanan untuk memulakan operasi hari ini.
Dianggap petunjuk kukuh

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata penemuan objek yang dikesan satelit komersial Australia itu dianggap petunjuk kukuh, tetapi belum dapat disahkan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menelefon Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, jam 10 pagi semalam bagi memaklumkan perkembangan itu.

Pihak berkuasa Australia di sini juga memberi taklimat kepadanya, manakala Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menghubungi rakan sejawatnya di Australia berhubung perkara sama.

“AMSA meneruskan pencarian dalam kawasan carian yang ditugaskan kepada Australia, dibantu pasukan pertahanan Australia, Tentera Udara New Zealand dan Tentera Laut Amerika Syarikat.

“Imej satelit menunjukkan objek mungkin ada kaitan dengan operasi pesawat MH370. Pihak berkenaan juga mendapatkan penilaian pakar terhadap imej satelit komersial itu. Penilaian imej oleh Persatuan Risikan Geospatial Australia, mendapati kemungkinan ada serpihan objek, tetapi mungkin tiada kaitan dengan MH370,” katanya.

Carian diteruskan

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, HMAS Success yang dilengkapi keupayaan mengutip sebarang objek yang dikesan, dalam pelayaran ke kawasan berkenaan tetapi mengambil masa untuk sampai.

Ditanya sama ada usaha di lokasi lain akan dikurangkan, beliau berkata, carian diteruskan seperti dirancang, cuma lebih bertumpu di kawasan baru berdasarkan maklumat terkini daripada Australia.

Katanya, data satelit yang diterima sebelum ini adalah dari Laut China Selatan dan maklumat terbaharu satelit Australia itu disokong oleh maklumat data beberapa satelit lain, sekali gus mendorong keputusan menghantar kapal ke kawasan carian berkenaan.

Beliau berkata, aset yang dihantar turut dilengkapi keupayaan mencari di laut dalam, termasuk pengesan sonar dan teknologi berkaitan.

“Buat masa sekarang, hanya Perth bandar terdekat dengan kawasan di mana satelit Australia mengesan dua objek terbabit dan banyak aset dikerah ke kawasan itu. Kita mengharapkan jawapan seberapa cepat mungkin. Seluruh dunia juga ingin tahu,” katanya.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");