Membawang Hari Ini

Hairi nikah 22 Mac

kawen 22LULUSAN program realiti televisyen Anak Wayang, Hairi Safwan, 26, mengesahkan bakal menamatkan zaman bujangnya bersama seorang gadis yang dikenali sebagai Fara Afiza Azman, 24, pada 22 Mac ini.

Menurutnya, majlis akad nikah akan dilangsungkan di Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang manakala majlis resepsi akan diadakan pada 7 Jun di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar, Kedah.

“Pastinya saya berdebar menantikan hari pernikahan yang sudah tidak lama lagi. Banyak sebenarnya dugaan kecil yang datang sepanjang persiapan dan saya akui berkahwin bukan mudah.

“Daripada persediaan mental, Alhamdulillah saya masih mempelajari ilmu agama dan tafsir al-Quran kerana saya mengaku saya masih jahil.

“Penting untuk saya sebagai bakal ketua keluarga mempersiapkan diri dengan ilmu agama,” katanya ketika ditemui di majlis sidang akhbar Siri Semarak Bangsawan di Kompleks Kerajaan Bukit Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pakai orang kampung

Hairi dan Fara Afiza telah mengikat tali pertunangan pada pertengahan Ogos tahun lalu selepas beberapa bulan berkenalan.

Fara Afiza bertugas sebagai seorang guru sekolah rendah dan merupakan anak kepada editor majalah Kuntum, Asma Saad.

Berbeza daripada tema majlis resepsi perkahwinan yang sering dipilih bakal mempelai, kata Hairi, dia akan mengadaptasi persembahan Mek Mulung sempena hari bersejarahnya.

“Saya mahu membawa kelainan dalam majlis perkahwinan kami dan pada hari itu saya akan berlakon seperti persembahan Mek Mulung yang popular di negeri Kedah.

“Bakal isteri saya akan menjadi puteri dan tetamu undangan yang hadir mestilah berpakaian seperti orang kampung zaman dahulu kala,” katanya mengenai konsep majlis yang telah dicadangkan oleh Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB).

Badang

Sementara itu, sempena Siri Semarak Bangsawan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) tahun ini, Hairi akan terbabit dengan pementasan teater bangsawan, Badang yang diarahkan oleh M. Nasri Ayob.

“Saya dihubungi oleh ASWARA (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan) pada bulan September tahun lepas dan kami akan mula berlatih pada bulan Ogos depan.

“Perkara yang dipentingkan dalam pementasan ini adalah bersilat dan saya tidak mahu kelihatan bodoh nanti. Mana tidaknya, seni silat popular dalam kalangan masyarakat Melayu kalau cara kita bersilat nampak bodoh orang akan ketawa,” ujarnya.

Hairi mula terbabit dalam pementasan teater bangsawan pada tahun 2000, antara naskhah yang pernah dipentaskannya terdiri daripada 12 Dayung Patani, Tun Teja dan Jebat.

Siri Semarak Bangsawan telah memasuki tahun kelapan penganjuran oleh JKKN dan sempena tahun ini sebanyak lapan buah teater bangsawan akan dipentaskan.

Antaranya, teater bangsawan Kemala Sakti Kesuma Ningrat oleh Anak Seni Pendidikan Bangsawan pada 14 hingga 16 Mac, Jula Juli Bintang Tujuh (11-13 April), Puteri Selindungan Bulan (9-11 Mei) dan Bidasari (13-15 Jun).

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");