Berita Hari Ini

Hubungan Malaysia-China renggang akibat MH370?

tragedi mas_4Tindakan Beijing mengkritik secara terbuka cara Malaysia mengendalikan penyiasatan kehilangan pesawat Boeing 777-200 MH370 Malaysia Airlines (MAS) dijangka merenggangkan hubungan dua hala yang sebelum ini terjalin dengan baik di antara kedua-dua negara itu.

Walaupun majoriti daripada penumpang pesawat malang itu merupakan rakyat China, 153 orang kesemuanya, tetapi cara Beijing mengkritik itu merupakan “suatu tindakan di luar batasan diplomatik”, menurut bekas diplomat negara yang enggan dikenali.

Beliau yang pernah berkhidmat di beberapa buah negara berkata, kenyataan-kenyataan “keras” China terhadap Malaysia itu dilakukan tanpa mengambilkira hubungan baik yang terjalin selama ini di antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Malaysia katanya, merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974, ketika negara dipimpin oleh Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Tun Abdul Razak.

China juga merupakan rakan dagang terbesar Malaysia.

“Tindakan beberapa pemimpin tertinggi China mengeluarkan kenyataan yang kritikal terhadap pengendalian Malaysia terhadap siasatan kehilangan pesawat MH370 itu menunjukkan sikap sebenar negara itu terhadap Malaysia.”

“Negara sahabat tidak akan berbuat demikian, walaupun 153 rakyatnya merupakan mangsa kejadian itu. Sepatutnya ada pertimbangan lebih diplomatik di dalam mengeluarkan pendapat tanpa menguris perasaan sahabat,” katanya.

Malaysia katanya, telah berusaha bersungguh-sungguh di dalam ruang lingkup kemampuannya di dalam siasatan kehilangan pesawat Boeing 777-200 yang membawa 239 penumpang itu, sambil dibantu oleh 13 negara lain.

Apapun katanya, kritikan terbuka China itu hanya akan mendekatkan Malaysia kepada Amerika Syarikat dan ia terbukti apabila agensi negara kuasa besar itu seperti National Transportation Safety Board (NTSB) dan Federal Aviation Administration (FAA) dijemput untuk terlibat secara langsung dalam siasatan tentang pesawat MAS itu oleh Kuala Lumpur.

Terdapat juga pendapat bahawa hubungan Kuala Lumpur-Beijing sudah mulai renggang berikutan daripada isu penghantaran kapal-kapal tentera China ke James Shoal, yang terletak 80km daripada Bintulu dan tindakan agresifnya di Laut China Selatan.

Pada 13 Mac, Perdana Menteri China Li Keqiang tanpa menyebut nama mana-mana negara berkata, pihak bertanggungjawab perlu meningkatkan koordinasi, menyiasat punca dan mengenalpasti lokasi kapalterbang itu dengan cepat.

Beliau dipercayai merujuk kepada Malaysia yang mengendalikan siasatan kehilangan pesawat itu.

Jurucakap Kementerian Luar China Qin Gang pula di dalam taklimatnya kepada wartawan negara itu pada 10 Mac secara terbuka menyalahkan Malaysia dan MAS terhadap kekurangan maklumat disampaikan kepada keluarga mangsa negara itu.

“Malaysia perlu meningkat usaha mereka,” katanya.

Sementara itu pada 12 Mac lepas, Gang di dalam satu kenyataan membidas siasatan yang dikendalikan oleh Malaysia berkenaan kehilangan pesawat Boeing 777-200 itu dan menggambarkannya sebagai “kucar-kacir” terutamanya di dalam mengesahkan beberapa maklumat yang bertentangan.

Malah editorial beberapa media di China seperti Global Times yang rapat dengan pentadbiran negara itu tentang kejadian malang menyelubungi MAS itu lebih kritikal terhadap cara pengendalian Malaysia terhadap kejadian itu.

Terdapat cadangan daripada beberapa pihak di China mahukan Beijing mengambilalih siasatan itu daripada Malaysia.

Walaupun membidas dan mengkritik cara pengendalian Malaysia, tetapi China juga patut dipersalahkan kerana menyebarkan beberapa maklumat tidak sahih tentang pesawat malang itu sehingga menimbulkan kesulitan kepada operasi mencari dan menyelamat.

Salah satu contoh terbaik adalah penyebaran imej-imej kabur satelitnya tentang penemuan objek logam di Laut China Selatan oleh agensi saintifiknya berkaitan pesawat malang itu.

Bukan sahaja imej-imej itu hanya dikeluarkan empat hari selepas ia diambil oleh satelit China itu, tetapi aset-aset udara Malaysia dan Vietnam yang dikerah ke koordinat objek-objek dakwaan Beijing itu gagal menemui apa-apa.

Menteri Pertahanan dan Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, penyebaran maklumat tidak disahkan seperti imej satelit China itu telah menyukarkan lagi operasi dengan aset-aset terpaksa dikerah untuk menyiasat perkara yang tidak betul. –

– MALAYSIAGAZETTE

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");